Maxis Mengendalikan Bengkel Digital Dan Membawa Kemeriahan Perayaan Ke Kampung Quop
Maxis telah menyambut musim Krismas tahun ini bersama-sama dengan komuniti Bidayuh Kampung Quop di Samarahan, Sarawak, sebagai sebahagian daripada inisiatif amal perayaannya. Seramai 30 orang sukarelawan dari pejabat Maxis di Kuala Lumpur dan serantau telah mengendalikan bengkel literasi digital di Pusat Internet (PI) yang dimiliki Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Kg Quop, iaitu salah satu daripada 52 PI yang dikendalikan oleh Maxis di Sarawak.
YBhg Dato Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Komunikasi dan Sektor Ekosistem Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tuan Haji Roslan Mohammad, Ketua Pengarah SKMM Sarawak, dan Tan Lay Han, Ketua Jualan dan Perkhidmatan, Maxis, turut menyertai sambutan tersebut.
Dalam program sehari ini, seramai 30 usahawan yang memiliki perniagaan tempatan kecil menyertai bengkel pemasaran digital, di mana mereka mempelajari cara-cara untuk mengoptimumkan perniagaan mereka dengan menggunakan media sosial, penciptaan kandungan dan fotografi. Sukarelawan Maxis melatih peserta-peserta bagaimana untuk menulis kapsyen, mengambil gambar dan merakam video yang menarik untuk memasarkan produk mereka di Facebook, Instagram, YouTube dan WordPress.
"Saya gembira kerana berpeluang untuk menghadiri bengkel hari ini. Sebelum ini, saya tidak begitu celik Internet, saya hanya tahu mengenai Facebook, Instagram dan YouTube melalui anak saya, tetapi hari ini saya telah mendapat banyak pengetahuan mengenai cara-cara mempromosikan perniagaan saya di pelbagai platform digital. Saya menghargai Maxis kerana membawa bengkel ini ke komuniti kami,” kata Rosnah binti Dollah, 51, seorang usahawan yang menjual cendawan tanaman sendiri.
Pada masa yang sama, 60 pelajar-pelajar dari Kg. Quop dan Kg. Taiee mengambil bahagian dalam bengkel literasi digital yang mengajar mereka bagaimana membezakan antara berita palsu dan benar, berhati-hati terhadap penipuan atas talian, bagaimana menangani kes buli siber, mencipta kata laluan yang selamat, dan lain-lain lagi. Program literasi digital ini sejajar dengan Klik Dengan Bijak, inisiatif MCMC yang menggalakkan penggunaan Internet secara positif dan bertanggungjawab.
Kanak-kanak tersebut adalah para pelajar eKelas, inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar di kalangan masyarakat luar bandar. Fokusnya ialah pada tiga mata pelajaran - Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris - untuk pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3. eKelas menawarkan gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran dalam kumpulan dan kandungan digital secara interaktif yang selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan. Mulai 2019, program ini akan dibuka kepada pelajar-pelajar Tahun 6, dan Tingkatan 4 dan 5 juga. Program ini disampaikan di PI milik SKMM di bawah penjagaan Maxis, yang berfungsi sebagai pusat digital untuk memenuhi keperluan masyarakat luar bandar. Pada masa ini, eKelas sedang disampaikan di 55 buah PI yang terletak di 10 negeri, dengan lebih daripada 6,000 pelajar terhubung melalui program ini.
“Saya berbesar hati dan gembira dapat menyertai kemeriahan hari ini sempena perayaan akhir tahun bersama dengan komuniti Kg Quop. Saya juga dapat melihat para usahawan dan pelajar begitu bersemangat untuk mempelajari dan bermanfaat daripada alat-alat digital, yang merupakan sesuatu yang penting dalam dunia kini yang didorong oleh teknologi, tidak kira di mana kita berada. Saya juga berharap para pelajar akan menggunakan kemudahan di Pusat Internet Kg. Quop dengan sepenuhnya dan mengunakan Internet secara positif dan bertanggungjawab,” kata Dato Ali.
“Krismas adalah musim untuk saling memberi dan tiada yang lebih baik selain daripada memberi dan berkongsi pengetahuan antara satu sama lain. Ianya suatu pengalaman yang memberi kepuasan apabila kita dapat melihat masyarakat saling mempelajari idea baru dan menggunakan Internet melalui bengkel-bengkel yang kami anjurkan. Ini selaras dengan usaha kami untuk memperkasakan komuniti di sini dengan kelebihan teknologi. Di samping membawa kemeriahan kepada komuniti Kg. Quop, kami gembira dapat memainkan peranan dalam memberi mereka pengetahuan baru,” kata Lay Han.
Para tetamu kemudiannya dijamu makanan tengah hari yang lazat, sambil dihibur oleh para pelajar Kg. Quop dan Kg. Taiee yang membuat persembahan lagu-lagu Krismas. Sebelum menamatkan upacara tersebut, para pelajar dihadiahkan beg sekolah dan bekalan alat tulis.