Makluman: Penamatan Pembayaran Cek untuk Pengguna.

Makluman: Penamatan Pembayaran Cek.

Ketahui info lanjut.

Maxis bekerjasama dengan Google untuk mengajar pelajar eKelas tentang program 'Be Internet Awesome'

beinternetawesome


Maxis telah bekerjasama dengan Google untuk menjalankan sesi latihan menggunakan program literasi digital Google, bertajuk ‘Be Internet Awesome', untuk lebih daripada 150 peserta mengenai keselamatan Internet. Latihan ini sejajar dengan Klik Dengan Bijak, iaitu sebuah inisiatif mantap dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyokong penggunaan Internet yang positif dan bertanggungjawab.

Sesi latihan yang diadakan baru-baru ini bertujuan untuk melengkapkan para peserta dengan pelbagai alat-alat digital untuk mencipta kata laluan yang selamat, mengelak penipuan (scam) dan menghadapi masalah cyberbullying. Para peserta terdiri daripada Pengurus dan Penolong Pengurus dari Pusat Internet (Community Broadband Centre - CBC) di seluruh negara dan sukarelawan Maxis. Kesemua CBC ini, yang dimiliki oleh SKMM, berfungsi sebagai hub digital bagi komuniti-komuniti di kawasan yang kurang mendapat perhatian.

Para pelatih yang baharu ini akan membantu untuk membimbing pelajar Maxis eKelas mengenai asas keselamatan atas talian dan bagaimana untuk menjadi pengguna Internet yang yakin. eKelas, program komuniti utama Maxis, adalah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar di kalangan masyarakat luar bandar. Fokusnya adalah pada tiga mata pelajaran - Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris - untuk pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3. eKelas menawarkan gabungan tutorial langsung, pembelajaran kumpulan dan kandungan digital interaktif yang selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia. Ia disampaikan di 55 CBC yang terletak di 10 negeri.

“Saya mengalu-alukan kerjasama antara Maxis dan Google ini, kerana ia membantu melengkapkan program Klik Dengan Bijak kami yang mengajar mengenai keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab, dengan penekanan kepada pengawalan diri dalam membendung penyalahgunaan Internet. Ia juga menunjukkan komitmen berterusan kami ke arah mewujudkan minda yang matang dan bertanggungjawab di era Internet ini. Kami gembira melihat matlamat bersama ini dalam membantu generasi masa depan menggunakan Internet secara bijak dan sebaik mungkin,” kata YBhg. Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai, Sektor Komunikasi dan Ekosistem Digital, SKMM.

“Keselamatan digital adalah salah satu isu yang paling penting kita hadapi sebagai sebuah masyarakat, terutamanya dengan generasi baharu sekarang yang celik Internet dan mempunyai akses 24 jam sehari. Ia amat penting bagi kami untuk membantu pelajar dan golongan muda menjadi warga digital yang bertanggungjawab. Kami gembira dapat menjadi sebahagian daripada program Maxis ini dan saya yakin bahawa sesi eKelas yang menghiburkan ini akan memulakan perbualan yang bermakna mengenai keselamatan dan penghormatan digital di rumah, sekolah dan tempat-tempat lain,” kata Su Ann Lim, Ketua Industri, Google Malaysia.

“Salah satu daripada cita-cita kami untuk eKelas adalah untuk membawa pembelajaran digital kepada komuniti, dengan menggunakan Internet sebagai platform yang penting untuk menyediakan pelajar dengan sumber dan kandungan untuk keperluan pembelajaran mereka. Oleh itu, ia amat penting dan tepat pada masanya bagi kami untuk melengkapkan Pengurus dan Penolong Pengurus CBC untuk membantu pelajar eKelas yang mengambil bahagian dalam program jangkauan komuniti utama kami ini untuk menikmati pengalaman digital yang selamat,” kata Robert Nason, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.

Latihan 'Be Internet Awesome' adalah berdasarkan modul yang disediakan oleh Google, yang meliputi lima bidang utama:

  • Share with Care (Be Internet Smart)
  • Don’t Fall for Fake (Be Internet Alert)
  • It’s Cool to Be Kind (Be Internet Kind)
  • When in Doubt, Talk It Out (Be Internet Brave)

Selain daripada sesi latihan ini, kerjasama Maxis dengan Google termasuk menggabungkan kandungan celik digital - dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia - ke dalam portal eKelas dan tutorial secara langsung.

beinternetawesome
Archives
Tags