Maxis, Huawei Malaysia Melancarkan Tapak Massive-MIMO Triband Pertama Di Dunia
Maxis dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) telah berjaya melancarkan Tri-band Bahagian Frekuensi Dupleks (FDD) (LTE 1800MHz, 2100MHz & 2600MHz) komersil pertama di dunia di tapak Massive-MIMO dalam rangkaian langsung di Malaysia. Ini akan menangani pertumbuhan pesat penggunaan data dan permintaan perkhidmatan yang pelbagai.
Massive-MIMO ialah teknologi antena berbilang dalam rangkaian 4G dan 5G di mana sejumlah besar tatasusunan antena digunakan untuk meningkatkan kapasiti tapak dalam senario trafik yang padat dan boleh digunakan di kawasan komersial dan kediaman.
Pandemik telah mempercepatkan keperluan untuk kesalinghubungan yang stabil dengan lebih ramai rakyat Malaysia bergantung pada aktiviti dalam talian dan menerimapakai pendigitalan, terutamanya di dalam kerja dan pembelajaran jarak jauh. Maxis merekodkan lonjakan purata penggunaan data bulanan bagi setiap pengguna, daripada 17GB pada suku pertama 2020 kepada 24GB pada masa ini, dan angka ini dijangka meningkat dalam masa hadapan.
Reka bentuk antena tatasusunan unik dan algoritma pintar penyelesaian Huawei FDD Massive-MIMO memaksimumkan kapasiti tapak Maxis dan menyediakan peningkatan prestasi berbanding teknologi MIMO 4T4R (4-Transmit 4-Receive) yang terdahulu di tapak sedia ada. Teknologi FDD Massive-MIMO mampu meningkatkan kapasiti rangkaian sebanyak 3 kali dan meningkatkan pengalaman pengguna sebanyak 4 kali (berbanding 4T4R).
“Di Maxis, kami sentiasa meneroka teknologi baharu untuk memenuhi permintaan Rangkaian pengguna kami yang sentiasa berubah. Ia selaras dengan komitmen kami untuk memperkasakan semua rakyat Malaysia dan perniagaan di negara ini untuk berhubung dalam pelbagai cara yang mungkin, dan pada setiap masa. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Huawei untuk menggunakan teknologi global terkini ini terlebih dahulu dan menyediakan pengalaman ketersambungan terbaik untuk pelanggan kami supaya mereka dapat terus menerajui di dalam dunia digital yang semakin pantas ini,” kata Gokhan Ogut, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Encik Michael Yuan, dalam mengulas mengenai penempatan teknologi itu berkata, Huawei Malaysia berbesar hati untuk berkongsi sumber dan kepakarannya dengan Maxis untuk projek FDD 3 Bands Massive-MIMO ini agar ia dapat mengurangkan kesesakan rangkaian dan mengoptimumkan kecekapan spektrum Maxis, dengan menekankan pada kelancaran penggunaan untuk pelanggan.
Beliau menambah, “Huawei memfokuskan pada reka bentuk cip dan algoritma berinovatif yang berasaskan Kecerdasan Buatan. Penyelesaian FDD 3 Band Massive-MIMO juga direka bentuk dengan bahan perkakasan berkualiti tinggi dan teknologi pelesapan haba termaju yang menjimatkan tenaga dengan cara yang kos efektif. Ini akan memajukan digital kalis masa hadapan, memperkasakan perniagaan, melindungi pelaburan dan menetapkan standard baharu untuk pembinaan rangkaian jalur lebar mudah alih.”
Penggunaan terbaharu oleh Maxis dan Huawei Malaysia ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam menyokong rangkaian 4G, sambil bersedia untuk 5G.