Johor Plantations memanfaatkan SD-WAN Maxis untuk ketersambungan penuh seluruh operasinya
- Ladang-ladang dihubungkan secara digital bagi meningkatkan kecekapan dan kawalan
Johor Plantations Berhad (“Johor Plantations”) telah menghubungkan keseluruhan rangkaian operasinya dengan penyelesaian Maxis. Langkah itu didayakan oleh SD-WAN (Rangkaian Kawasan Luas Ditentukan Perisian) bagi memastikan ketersambungan yang pantas, selamat dan stabil di seluruh ladang, kilang, loji biogas, loji biometana dan makmal agroteknya, merangkumi kawasan seluas 60,339 hektar.
Pencapaian penting ini berpokok pangkal daripada kerjasama Johor Plantations dengan Maxis, syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, di mana Maxis telah mereka bentuk dan memasang infrastruktur yang terdiri daripada lebih 27 pemancar gelombang mikro dan menara komunikasi di seluruh unit operasi Johor Plantations bagi menyokong pelbagai keupayaannya, terutamanya Akses Internet Khusus berkelajuan tinggi Maxis untuk ketersambungan awan. Infrastruktur ini akan membantu Johor Plantations dalam pelbagai aspek, termasuk menambah baik pengurusan tanaman kelapa sawit, perancangan sumber pekerja serta pemantauan pengurusan alam sekitar. Selain daripada itu, SD-WAN yang diuruskan oleh Maxis kini turut berhubung dengan 11 tapak lain di seluruh rangkaian Johor Plantations, bagi memastikan persekitaran yang selamat dan akses yang lebih baik.
Kerjasama ini dijalinkan tepat pada masanya dan kami berbesar hati kerana peneraju industri seperti Maxis bersedia untuk membantu kami mencapai kesalinghubungan yang lebih tinggi dan komunikasi stabil yang telah dikenal pasti sebagai teras penting untuk operasi kami dalam jangka pendek dan panjang. Ketersambungan berkelajuan tinggi adalah penting untuk perkembangan dan kemajuan perniagaan kami, dan kami berharap untuk meraih faedah daripada persekitaran yang berhubung sepenuhnya membolehkan operasi kami berkomunikasi dan berintegrasi dengan lebih baik - Pengarah Urusan Johor Plantations, Mohd Faris Adli Shukery
Kami berbesar hati kerana dapat menyokong Johor Plantations selaras dengan cita-cita digital mereka. Rangkaian luas penyelesaian ketersambungan berskala kami yang didayakan oleh teknologi terbaik di dalam kelasnya akan memastikan perniagaan dan tenaga kerja mereka kekal berhubung sepanjang masa. Kerjasama kami menunjukkan magnitud di mana kami mampu menangani sepenuhnya keperluan telekomunikasi operasi berskala besar dengan kawasan liputan yang luas - Pemangku Ketua Perniagaan Perusahaan Maxis, Claire Featherstone
Kerjasama ini selaras dengan perjalanan transformasi digital Johor Plantations yang lebih luas di mana ia akan memanfaatkan pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan dan menjana produktiviti yang lebih tinggi merangkumi keseluruhan organisasinya. Dengan tersedianya infrastruktur yang mantap ini, Johor Plantations akan terus meneroka lebih banyak projek pendigitalan bagi mentransformasi perniagaannya, termasuk sistem pengurusan perladangan digital dan mudah alih sepenuhnya serta kebolehjejakan digital menggunakan teknologi blok rantai.
Apabila kita membicarakan tentang transformasi digital, kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan ‘tunggu dan lihat’. Kita perlu bergerak maju ke hadapan agar seiring dengan permintaan pasaran dan kerjasama ini adalah antara inisiatif utama yang sejajar dengan aspirasi digital kami sebagai sebuah syarikat perladangan bersepadu, - Mohd Faris