Maxis sebarkan kemeriahan Kaamatan di Sabah dengan aktiviti komuniti bertemakan perayaan
- Penyertaan berskala besar dalam Pesta Kaamatan yang berlangsung selama dua minggu di pusat budaya Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA)
- Kolaborasi dengan bakat muzik terkemuka Malaysia Timur untuk mempersembahkan video muzik perayaan
- Bengkel kemahiran Bahasa Inggeris dan sumbangan komputer riba untuk pelajar SK Pomotodon, Kota Kinabalu
Musim Kaamatan ini, Maxis meraikan perayaan menuai secara besar-besaran bersama komuniti-komuniti di Sabah dengan membawakan sebuah perayaan kebudayaan yang merangkumi muzik, siri aktiviti menarik yang berlangsung selama dua minggu di pusat kebudayaan, serta sesi pendidikan digital dan bengkel kreatif.
Kaamatan adalah perayaan utama di Sabah dan kami gembira dapat memainkan peranan positif dalam berhubung dengan semua komuniti yang kami berkhidmat. Sambutan musim menuai kami menggabungkan aktiviti seronok, apresiasi budaya dan juga pembelajaran. Kami berharap semua ahli masyarakat yang terlibat dipenuhi keriangan dalam sambutan dan pembelajaran mereka bersama Maxis sempena perayaan ini, - Melvin Yap, Ketua Pengurusan Jualan Serantau Maxis untuk Sabah
Wakil Maxis disambut meriah dengan persembahan tarian tradisional oleh pelajar SK Pomotodon.
Perayaan Meriah di KDCA: Semangat Kaamatan dapat dirasai di booth Maxis dan Hotlink di pusat kebudayaan KDCA dari 18 hingga 31 Mei 2024. Pengunjung festival dihiburkan dengan persembahan oleh artis tempatan seperti Marsha Milan, Sumandax, Felix Agus, dan ramai lagi. Selain itu, pengunjung juga terlibat dalam sesi interaktif bersama juruhebah Kupi-Kupi FM dan menyertai pelbagai permainan mini yang menarik termasuk Tikam Guli dan Lontar Gelang.
Menambahkan lagi kepada suasana perayaan adalah penampilan istimewa oleh semua finalis Unduk Ngadau tahun ini, iaitu sebuah pertandingan ratu cantik tahunan yang diadakan untuk seluruh negeri semasa perayaan Kaamatan. Pertandingan itu turut disiarkan secara langsung di halaman Facebook Maxis dan Hotlink.
Peserta dari SK Pomotodon dengan hadiah mereka sempena perayaan amal Kaamatan Maxis.
Enam pelanggan bertuah yang mendaftar dengan pelan 5G terkini Maxis atau Hotlink semasa festival itu turut membawa pulang hadiah cabutan bertuah seperti TV pintar 65 inci dan 55 inci, sistem karaoke, vakum robot dan peralatan pengguna yang lain.
Meraikan budaya melalui muzik: Untuk menyebarkan lagi keceriaan perayaan, Maxis turut bekolaborasi dengan artis Malaysia Timur yang berbakat untuk mempersembahkan dua video muzik yang menggabungkan melodi segar dengan penerokaan budaya.
Dengan melodi yang menyentuh hati, 'Idola' oleh KUPIKUPI FM Sabah merakamkan keterujaan memori cinta muda. Video muzik itu membawa penonton dalam suatu perjalanan nostalgia melalui sebuah kampung tradisional Sabah, dengan Gunung Kinabalu sebagai latar belakang yang mengagumkan. Selain itu, penampilan tetamu istimewa oleh pemenang Unduk Ngadau yang lalu turut termasuk dalam muzik video tersebut.
Sementara itu, ‘Original Sabahan (remake)’ oleh Sumandax menyuntik unsur pop yang rancak kepada satu lagu klasik yang menceritakan kebanggaan sebagai anak Sabah. Video muzik itu mempamerkan koreografi unik yang melengkapkan lagu bertenaga tinggi tersebut.
Memperkasakan minda muda: Akhir sekali, Maxis mengadakan acara khas dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk pelajar-pelajar SK Pomotodon, Kota Kinabalu. Acara tersebut bertujuan untuk memperkasakan pelajar dan menyokong pendidikan digital mereka.
Wakil Maxis berkongsikan panduan bercerita Bahasa Inggeris untuk menarik perhatian pelajar SK Pomotodon.
Pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6 telah menyertai bengkel bercerita Bahasa Inggeris, di mana mereka diberikan tip-tip dan kemahiran bagi meningkatkan kefasihan dan komunikasi Bahasa Inggeris mereka dengan kaedah yang imersif. Bengkel ini adalah sebahagian daripada jerayawara Maxis eKelas' HIPMaX StoryFest, sebuah pertandingan teater dan bercerita tahunan dalam Bahasa Inggeris yang terbuka kepada semua pelajar Malaysia dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5.
Menyedari kepentingan akses digital untuk pembelajaran, Maxis turut menyumbang 11 komputer riba sebagai sumber tambahan untuk sekolah tersebut. Komputer riba itu akan membolehkan lebih ramai pelajar mengakses kandungan Maxis eKelas, terutamanya bahan pembelajaran digital dalam Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Sejarah serta topik berkaitan digital dan kemahiran insaniah.