Amaran: Waspada

Amaran: Waspada

Penipuan SMS yang mengaku sebagai Maxis

Maxis akan percepatkan penggunaan awan bagi perniagaan dengan AWS Region di Malaysia

Maxis Logo
  • AWS (Asia Pacific) Malaysia Region membuka peluang baharu bagi penggunaan yang memerlukan residensi data dalam negara dan kependaman yang lebih rendah
  • Maxis merupakan satu-satunya syarikat telekomunikasi di Malaysia yang memegang status AWS Advanced Tier Services Partner, dan AWS Direct Connect Partner, dengan rekod prestasi yang terbukti serta berpakaran tinggi dan diperakui
  • Maxis Business dilengkapi dengan kelebihan yang unik untuk membantu pelanggan beralih ke awan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan terurus hujung ke hujung, dan kini menawarkan program Cloud Mover yang menarik untuk menggalakkan penerimagunaan pelanggan

Maxis, penyedia telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, akan mempercepatkan penggunaan awan bagi perniagaan di Malaysia dengan memanfaatkan infrastruktur Amazon Web Services (AWS) Region yang baru dilancarkan di negara ini. Melalui Maxis Business, bahagian perniagaan perusahaan Maxis, pelanggan kini boleh memanfaatkan keupayaan awan dengan lebih keyakinan, kerana residensi data tempatan akan membolehkan migrasi data dan beban kerja mereka ke awan secara lancar dan selamat.

Dengan mengutamakan residensi data, Maxis memberikan perniagaan keyakinan kerana data mereka disimpan dan diuruskan dalam Malaysia, bukan sahaja menawarkan pematuhan pengawalseliaan tetapi juga keselamatan yang dipertingkatkan dan kependaman yang dikurangkan. Infrastruktur tempatan ini membolehkan operasi awan yang lebih cepat dan dipercayai, memberikan perniagaan di Malaysia keupayaan untuk memanfaatkan pelbagai penggunaan canggih seperti kecerdasan buatan (AI), AI generatif, dan analitik berskala besar.

Sebagai satu-satunya syarikat telekomunikasi di Malaysia yang memegang status AWS Advanced Tier Services Partner, dan AWS Direct Connect Partner, Maxis mempunyai kelebihan yang unik dengan pengalaman pelanggan yang terbukti untuk membantu migrasi perniagaan ke awan.

Bagi menyokong pelancaran AWS Region baru-baru ini, Maxis Business kini menawarkan program Cloud Mover tersendiri untuk memacu migrasi awan di kalangan lebih banyak perniagaan di Malaysia. Di bawah program Cloud Mover Maxis, yang tersedia sehingga 30 November 2024, pelanggan yang memilih Maxis Business untuk beralih ke awan akan mendapat manfaat daripada migrasi percuma dan sehingga RM10,000 dalam bentuk kredit dengan 6 bulan Direct Connect.

Maxis CEO Goh Seow Eng
quote

"Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, Maxis komited untuk mendorong penggunaan awan merentas sektor swasta dan awam bagi memacu ekonomi negara kita. Penubuhan AWS Region di negara ini akan memangkin penerimagunaan digital kerana pelanggan akan mendapat manfaat daripada peningkatan dalam skalabiliti serta keselamatan daripada kedaulatan data tempatan. Bersama dengan AWS, kami berharap akan dapat membantu lebih banyak perniagaan berbilang saiz di Malaysia memanfaatkan kuasa pengkomputeran awan sebagai rakan niaga digital pilihan mereka." - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.

Sebagai sebuah AWS Advanced Tier Services Partner, Maxis mempunyai pasukan pakar yang berkelayakan tinggi dan diperakui yang boleh berunding dengan pelanggan mengenai pelbagai keperluan data dan awan mereka. Kepakaran Maxis turut merangkumi semakan berdasarkan AWS Well-Architected Framework, yang bertujuan untuk membantu pelanggan membina infrastruktur yang cekap, selamat, dan berdaya tahan yang akan memenuhi keperluan semasa dan masa depan mereka.

Tambahan pula, sebagai sebuah AWS Direct Connect Partner, Maxis boleh melengkapi pelanggan dengan ketersambungan rangkaian persendirian langsung ke persekitaran awan AWS yang berkependaman rendah. Selain memperkukuh daya tahan dan keselamatan, kesalinghubungan langsung membolehkan pengoptimuman berterusan merentas persekitaran rangkaian dan awan pelanggan.

Keupayaan ini melengkapkan perkhidmatan rangkaian terurus hujung ke hujung Maxis Business, yang memudahkan pelanggan dalam mengguna pakai dan menguruskan penyelesaian ketersambungan dan digital. Perkhidmatan terurus tersebut termasuk keselamatan siber, awan, rangkaian persendirian, dan internet kebendaan (IoT), serta penyelesaian kesalinghubungan tetap dan mudah alih. Baru-baru ini, Maxis telah menambah unit pemprosesan grafik-sebagai-perkhidmatan (GPUaaS) kepada portfolio mereka.

Selain memacu penyelesaian berasaskan awan, Maxis komited untuk memperkenalkan kes penggunaan inovatif yang dikuasakan oleh 5G-Advanced (5G-A) dan 5G untuk mempercepat penerimagunaan digital di pelbagai sektor serta penyelesaian Bandar Pintar 5G-A. Baru-baru ini, Maxis telah memperkenalkan platform semua-dalam-satu pertama di Malaysia untuk orkestrasi rangkaian 5G, pengkomputeran pinggir, awan dan perkhidmatan.

Kerjasama jangka panjang Maxis dengan AWS bermula pada 2019, apabila Maxis menyertai AWS Partner Network dan menjalin kerjasama strategik untuk menyediakan teknologi awan terkemuka industri. Awal tahun ini, Maxis telah memperdalam kerjasamanya dengan AWS dengan tujuan mempercepatkan inovasi dalam bidang dinamik AI generatif dan kes penggunaan 5G untuk perniagaan Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: Maxis Cloud Mover Program

Archives
Tags