Lebih Banyak Komuniti Di Sarawak Kini Mempunyai Akses Kepada Maxis eKelas
Maxis kini membawa pendidikan digital kepada lebih banyak komuniti di Sarawak dengan mengembangkan eKelas – sebuah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah - kepada lebih banyak Pusat Internet (PI) di negeri ini. Komuniti di Pusat Internet Kg Tebelu di Sebuyau adalah lokasi terbaharu di Sarawak untuk mendapat manfaat dari Maxis eKelas.
Pada satu majlis yang diadakan di sini hari ini, Robert Nason, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, bersama Alex Bong, Ketua Wilayah Sarawak Maxis, berinteraksi dengan para pelajar eKelas, guru dari sekolah-sekolah berdekatan dan komuniti.
"Maxis eKelas adalah program Tanggungjawab Korporat utama kami yang memanfaatkan teknologi dan Internet untuk membawa pembelajaran digital lebih dekat kepada komuniti terutama di kawasan luar bandar. Sebagai pengupaya digital (digital enabler), kami gembira dapat memberi akses untuk pelajar-pelajar ini kepada kandungan pembelajaran interaktif dan interaksi dengan guru berpengalaman. eKelas menawarkan pengajaran dan pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan, bersemangat dan menarik,” kata Robert Nason.
Semasa majlis tersebut, komuniti telah dapat menyaksikan tutorial langsung bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris, dimana kelas itu sedang distrimkan dari Kuala Lumpur melalui sesi persidangan video. Pelajar juga berkongsi bagaimana portal eKelas telah membantu pembelajaran mereka.
Sementara itu, terdapat demo mengenai ciri terbaharu eKelas, iaitu eCikgu, yang sedang diuji. eCikgu adalah platform perbualan secara langsung dimana para pelajar dapat berinteraksi dengan guru dan bertanya soalan secara serta-merta.
Program eKelas disampaikan di Pusat Internet yang dimiliki oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah penjagaan Maxis. Maxis adalah syarikat pertama yang membawa pembelajaran digital ke Pusat Internet. Pada masa ini, Maxis eKelas berjalan di 54 Pusat Internet di 10 negeri di Semenanjung dan Malaysia Timur. Di Sarawak sahaja, terdapat 13 Pusat Internet yang terletak di Kuching, Miri dan Sibu, di mana pelajar boleh mendapat akses ke eKelas.
Di samping menawarkan tutorial langsung dan kandungan portal, Maxis eKelas kerap menganjurkan acara dan aktiviti di PI seperti pertandingan dan kem percutian, untuk menawarkan para pelajar pengalaman pembelajaran yang lebih menarik. Salah satu aktiviti terbaharu yang diperkenalkan baru-baru ini ialah Maxis Motivates, sebuah program dimana kakitangan Maxis berkongsi cerita dan pengalaman hidup mereka dengan para pelajar eKelas di seluruh negara, dengan harapan untuk memberikan inspirasi dan mengembangkan pengetahuan mereka.
Maxis eKelas adalah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar di kalangan komuniti luar bandar dan bandar. Fokusnya ialah pada tiga mata pelajaran - Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris - untuk pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3. eKelas menawarkan gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran dalam kumpulan dan kandungan digital secara interaktif yang selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan.