Maxis komited untuk memberi pengalaman rangkaian terbaik di Kelantan
Maxis menyambut lawatan Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) ke tapak Kubang Tebik, Machang, Kelantan pada 26 Jun dengan memberikan taklimat terkini berkenaan usaha rangkaiannya di Kelantan. Usaha-usaha tersebut yang sejajar dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA), dan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta industri, telah dijalankan untuk meningkatkan dan memastikan pelaksanaan berjalan lancar di seluruh negara. Sebagai penyedia penyelesaian konvergen terunggul di Malaysia, Maxis komited untuk melaksanakan kesalinghubungan mudah alih dan juga tetap, di samping memanfaatkan kemampuan komunikasi mudah alih, fiber, WiFi dan satelit untuk memberikan pengalaman rangkaian yang lebih baik di kawasan terpencil.
Sebagai sebahagian dari komitmen beterusan untuk mengukuhkan liputan rangkaian 4G dan memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik di Semenanjung dan Malaysia Timur, Maxis telahpun mencapai 100% sasaran JENDELA bagi tahun 2020. Untuk 2021 pula, Maxis tetap fokus untuk mengoptimumkan rangkaiannya sebagai persediaan dalam menghadapi peningkatan trafik Internet yang berterusan. Pengembangan liputan 4G juga akan dipercepatkan di kawasan luar bandar dan terpencil melalui projek USP, sambil memperkukuhkan kualiti pengalaman pelanggan di kawasan bandar, kediaman dan perindustrian, dengan penaiktarafan tapak mudah alih di beberapa negeri termasuk Kelantan.
Kehadiran YB Dato' Sri Mustapa disambut oleh Ketua Pegawai Rangkaian Maxis, Abdul Karim Fakir Ali, bersama Tuan Hj Abdul Mubin Mohd Zain, Ketua SKMM Negeri Kelantan. Maxis juga telah memberikan taklimat terkini berkenaan program menaiktaraf 4G yang sedang berjalan untuk meningkatkan liputan dengan pembinaan dan penaiktarafan tapak antaranya di Kg Kubang Tebik, Kg Dusun Buluh dan Kg Paloh.
Sementara itu, Maxis juga menyokong komuniti dengan pembelajaran digital melalui program komuniti unggulnya, eKelas di 13 Pusat Internet Komuniti, dan 60 buah sekolah di Kelantan. Inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah ini menawarkan cara belajar yang menyeronokkan bagi pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5 melalui penyediaan akses percuma kepada kandungan pendidikan berkualiti dan aktiviti menarik, selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia.