Maxis dan Hewlett Packard Enterprise bawa penyelesaian Komputer Pinggiran Akses Berbilang kependaman rendah pertama di Malaysia
- MEC capai tindak balas satu digit milisaat yang membolehkan data diproses dan disimpan di pinggir rangkaian
- Maxis kini membangunkan satu siri kes penggunaan MEC ynag memanfaatkan teknologi Maxis Programmable Network (MPN), awan, IoT dan penyelesaian pintar
- Maxis jemput perusahaan dan pemaju untuk cuba MEC dan mengembangkan potensi perniagaan mereka mulai April 2022
Maxis memacu perjalanannya untuk menjadi penyedia penyelesaian ICT No. 1 Perusahaan dengan kerjasama terbaru bersama Hewlett Packard Enterprise (HPE) untuk membawa Multi-access Edge Computing (MEC) / Komputer Pinggiran Akses Berbilang sebagai penyelesaian digital perusahaan.
MEC ialah teknologi yang membolehkan masa tindak balas pengkomputeran satu digit milisaat dengan data yang diproses dan disimpan di pinggir rangkaian, membawa sumber awan lebih dekat kepada pengguna akhir berbanding sebelum ini. Penggunaan pinggir rangkaian mengurangkan keperluan untuk memindahkan jumlah besar data ke pusat data yang jauh, kerana maklumat diproses dan/atau disimpan lebih dekat dengan sumber, dan proses pemindahan data dilakukan dengan selamat dengan rangkaian capaian laju (seperti tetap, 4G, 5G dan Wi-Fi). Ini menjadikan MEC menarik kepada perniagaan yang mengendalikan aplikasi kelebihan masa kritikal seperti analisis data, Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan pembelajaran mesin, kerana ia meningkatkan kecekapan dan ketepatan dengan ketara dalam masa nyata, sambil meminimumkan kos penyambungan dan penyimpanan data.
“Dengan daya tarikan pendigitalan yang kuat, perusahaan mesti dapat menjana cerapan data dengan lebih pantas untuk membuat keputusan kritikal dalam persekitaran operasi yang sangat kompetitif. Sebagai penyedia penyelesaian konvergen terkemuka negara, kami teruja untuk menjadi yang pertama membawa MEC ke Malaysia bagi memperkasakan pelanggan perusahaan Rangkaian kami dengan teknologi generasi akan datang, sambil meningkatkan keupayaan kami untuk menyediakan infrastruktur rangkaian yang selamat, kos efektif dan atas permintaan untuk perniagaan dari semua saiz.,” kata Paul McManus, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis.
“HPE teruja untuk dapat memulakan kerjasama ini dengan Maxis bagi menolak sempadan ketersambungan digital di negara ini. Kami berharap kerjasama ini mencetuskan penggunaan teknologi canggih yang inovatif di Malaysia. MEC ialah perkhidmatan perusahaan yang berbeza, bernilai tinggi dan kami mengharapkan banyak perusahaan menerima kemungkinan dan kelebihan yang boleh ditawarkan oleh MEC,” kata Robert Lye, Pengarah Urusan HPE Malaysia.
Maxis kini sedang membangunkan satu siri kes penggunaan percubaan MEC yang memanfaatkan teknologi Maxis Programmable Network (MPN), awan, IoT & penyelesaian pintar. Kes penggunaan yang berpotensi termasuk Pengawasan Pintar untuk kamera keselamatan video Definisi Tinggi (HD) dan boleh pakai yang memerlukan analisis masa nyata, pengecaman muka dan objek, penyelesaian Realiti Diperkukuh / Realiti Maya (AR/VR) dengan analitik video untuk kawalan kualiti dan operasi yang tinggi, dan sistem rondaan dron 24 jam dipacu AI dengan kamera terma Inframerah (IR) yang dipertingkatkan.
Percubaan MEC Maxis, dikuasakan oleh platform HPE dan Saguna vEdge+, menampilkan seni bina perkhidmatan mikro yang sangat bersepadu dan teknologi pecutan pemprosesan data lanjutan, menyokong teknologi akses berbilang untuk rangkaian heterogen, termasuk 4G, 5G dan Wi-Fi.
Mulai April 2022, Maxis menjemput semua perniagaan dan pembangun untuk mengalami potensi kes penggunaan MEC. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila lawati https://www.maxis.my/edgecomputing