Makluman: Penamatan Pembayaran Cek untuk Pengguna.

Makluman: Penamatan Pembayaran Cek.

Ketahui info lanjut.

MIMOS, Maxis, Huawei bekerjasama menubuhkan Hab Inovasi 5G dan AI untuk memperluaskan penggunaan teknologi

Mimos Huawei Maxis 5G and AI Hub

Hab ini akan membantu mempercepatkan penciptaan kes penggunaan industri yang digerakkan oleh 5G, AI, IoT dan teknologi termaju lain, sekali gus menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan perusahaan

MIMOS, Maxis dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) telah menjalin kerjasama untuk membina Hab Inovasi 5G dan AI. Hab yang terletak di MIMOS ini akan membantu mempercepatkan kes penggunaan industri (Industrial use-cases) yang digerakkan oleh 5G, Internet Benda (IoT), Pengkomputeran Awan dan Kecerdasan Buatan (AI).

Apabila mula beroperasi sepenuhnya, hab ini akan menjadi co-creation testbed untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inkubator untuk penyelesaian inovatif, di mana ia bakal memberi akses kepada perusahaan untuk menggunakan infrastruktur dan kemudahan yang didayakan oleh teknologi canggih.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Dr Iskandar Samad berkata: “Aktiviti R&D kami yang dipacu pasaran tertumpu kepada melahirkan pemain teknologi tempatan yang mampu menghasilkan penyelesaian bagi memenuhi keperluan pasaran, serta mempunyai potensi keboleheksportan untuk masa depan.

“Adalah penting bagi Malaysia untuk menjadi sebuah tempat yang boleh menghasilkan penyelesaian inovatif AI dan 5G secara global. Dengan ekosistem inovasi yang kukuh, ia dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada industri,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata: “Di Maxis, kami sentiasa komited untuk menyokong agenda digital negara. Kerjasama ini adalah penting untuk merungkai potensi besar teknologi canggih yang boleh digunakan oleh industri. Dengan berbekalkan kepimpinan dalam rangkaian, perkhidmatan digital dan penyelesaian keterhubungan, kami akan bersama-sama membawa teknologi terbaik untuk membolehkan orang ramai, perusahaan dan negara sentiasa berada di hadapan dalam dunia yang sentiasa berubah.”

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Michael Yuan berkata: “Sebagai penyedia infrastruktur ICT global dan peranti pintar terkemuka serta dengan pengalaman kami yang luas dalam 5G, Pengkomputeran Awan dan AI; Huawei akan menyediakan infrastruktur, berkongsi pengetahuan dan khidmat nasihat tentang amalan terbaik. Kami telah terbukti mempunyai kepakaran dalam bidang ini dengan bilangan kes penggunaan komersil terbanyak di peringkat serantau dan global, dan kami beriltizam untuk membawa pengalaman ini ke Malaysia.

“Hab ini juga akan membolehkan rakan kongsi dalam ekosistem tempatan menggunakan teknologi 5G, AI dan Pengkomputeran Awan. Kerjasama ini mengukuhkan komitmen kami ke arah inovasi bersama, dan kami berharap dapat terus bekerjasama dengan rakan strategik kami dalam berinovasi untuk memajukan ekonomi digital Malaysia.”

Mimos Huawei Maxis 5G and AI Hub

Pusat R&D gunaan nasional, MIMOS akan memainkan peranan sebagai hos dan pemacu inovasi, di mana agensi itu akan menawarkan khidmat nasihat R&D, kemudahan untuk operasi testbed, demonstrasi dan latihan. MIMOS juga akan menyelia penciptaan penyelesaian untuk membantu industri dalam mencapai pertumbuhan yang berterusan.

Sebagai penyedia penyelesaian terkemuka di Malaysia, Maxis akan memperkasakan hab dengan memberikan perkhidmatan rangkaian dan ketersambungan terbaik dan akan berkongsi kepakarannya untuk mempercepatkan dan memupuk inovasi baharu. Maxis juga akan menggunakan kepakarannya untuk menyepadukan penyelesaian yang dibangunkan oleh hab, dengan penyelesaian perusahaannya yang diperkenalkan ke pasaran tempatan.

Sementara itu, Huawei sebagai penyedia teknologi terkemuka akan menggunakan pengalamannya yang luas dalam mengendalikan makmal inovasi, memberi nasihat tentang strategi terbaik global dan berkongsi pengetahuan tentang teknologi dengan rakan ekosistem tempatan. Huawei juga akan membantu membawa inovasi ini ke pasaran global.

Hab ini juga akan menampilkan beberapa pameran termasuk:

  • Pembuatan Pintar: Penggunaan 5G untuk penderia dan peranti yang disambungkan di dalam kilang serta seluruh rantaian nilai.
  • Perlombongan Data untuk Perkhidmatan Pelanggan: Menggunakan set data yang besar bagi mencipta hasil yang lebih bermakna untuk pengalaman pengguna, seperti kandungan yang diperibadikan.
  • Durian Sense: Pelaksanaan penderia IoT dan analisis data raya untuk pertanian pintar.

Perusahaan dan pemain industri boleh melayari www.5g-ai-hub.my untuk mengetahui lebih lanjut tentang Hab Inovasi 5G & AI atau untuk menjadualkan lawatan ke hab tersebut.

Archives
Tags