Maxis dan MARDI bekerjasama untuk meneroka pemodenan pertanian
- Kedua-dua pihak bekerjasama untuk membangunkan penyelesaian berasaskan pertanian dan agri-makanan
- Perkongsian akan merangkumi program pembangunan kapasiti, penyelidikan dan pelaksanaan projek perintis yang diterajui oleh penyelesaian Smart Agriculture Maxis
- Perkongsian selaras dengan cita-cita MARDI untuk memanfaatkan inovasi bagi memodenkan amalan pertanian
Dengan kepesatan teknologi yang terus mewujudkan peluang besar dalam pelbagai industri utama, Maxis telah bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membangunkan penyelesaian berasaskan pertanian dan agrimakanan. Kedua-dua pihak akan memanfaatkan keupayaan masing-masing untuk meintegrasikan kejuruteraan dan ICT dalam projek-projek bagi industri pertanian yang mampan serta berdaya saing.
Untuk merasmikan kerjasama ini, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Maxis dan MARDI baru-baru ini di Menara Maxis. Ketua Pengarah MARDI, YBhg Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, mewakilkan pihak MARDI untuk menandatangani MoU tersebut, manakala Maxis diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan, Claire Featherstone.
“Sektor pertanian terus menjadi salah satu enjin pertumbuhan terpenting bagi ekonomi negara. Kerjasama kami dengan Maxis adalah tepat pada masanya kerana kami menantikan pemodenan amalan pertanian melalui pelaksanaan pendekatan baharu yang berdasarkan teknologi moden dan pembangunan mampan. Ini sekaligus selaras dengan IR4.0 dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030,” - YBhg Dato’ Dr. Mohamad Zawawi Abdul Ghani
“Integrasi data dan kesalinghubungan adalah kritikal bagi kemajuan industri, dan terdapat banyak peluang untuk meningkatkan produktiviti serta hasil bagi petani tempatan melalui peningkatan automasi. Potensi untuk memodenkan sektor pertanian ini besar, dan Maxis teruja untuk bekerjasama dengan MARDI untuk membangunkan serta merintis penyelesaian pintar melalui aplikasi Internet of Things (IoT) dan lebar jalur yang lebih tinggi untuk meningkatkan amalan pertanian harian,” - Claire Featherstone
Sebagai perintis, Maxis dan MARDI akan mengusahakan ketepatan pertanian untuk halia di kemudahan MARDI di seluruh negara. Mereka bakal menggunakan system automatik untuk menggunakan fertigasi dengan baja titisan, analisis data besar, serta pengawasan 24/7. Projek rintis ini bertujuan untuk melancarkan teknologi kepada lebih 400 orang usahawan pertanian halia bagi meningkatkan kecekapan serta melengkapkan MARDI dengan data berguna mengenai cara menggunakan teknologi dalam menangani cabaran sekuriti makanan.
Sebelum ini, Maxis pernah bekerjasama dengan MARDI pada tahun 2019 untuk penyelesaian teknologi canggih yang dikuasakan oleh NB-IoT Maxis bagi membantu meningkatkan hasil, kecekapan sumber dan kualiti penanaman anggur yang dihasilkan di Taman Agro MARDI di Langkawi. Ini membolehkan petani memantau keadaan tanaman mereka dari jauh melalui aplikasi mudah alih. Kerjasama itu juga merupakan salah satu Projek Demonstrasi 5G negara ketika itu.