Maxis bekerjasama dengan Blueshark dan JomCharge untuk mempercepat penggunaan penyelesaian e-mobiliti
- Maxis akan menyediakan penyelesaian ketersambungan rangkaian 4G dan 5G untuk kenderaan bersambung dan pengecas EV di Malaysia.
- Penyelesaian digital inovatif untuk mempercepatkan teknologi EV baru.
- Kerjasama diumumkan di E-Mobility Asia, dengan Maxis sebagai penyedia penyelesaian mobiliti pintar rasmi.
Maxis akan bekerjasama dengan Blueshark, penyedia skuter pintar terkemuka, dan EV Connection Sdn. Bhd. (EVC), pengendali rangkaian pengecas JomCharge, untuk mempercepatkan penggunaan penyelesaian e-mobiliti.
Sebagai permulaan bagi kerjasama ini, sebuah upacara pertukaran dokumen telah diadakan sempena pameran E-Mobility Asia (EMA) 2023, di mana Maxis telah memeterai Memorandum-Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Blueshark dan EVC masing-masing. Maxis ialah penyedia penyelesaian mobiliti pintar rasmi untuk EMA yang sedang diadakan di Kuala Lumpur untuk julung kalinya dari 22 hingga 24 November.
Upacara itu telah disaksikan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri, Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada MoU tersebut, Maxis akan menyediakan penyelesaian ketersambungan rangkaian 4G dan 5G kepada Blueshark dan EVC untuk menyokong keperluan e-mobiliti bagi aset dan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) mereka.
Maxis juga akan meneroka penyelesaian digital inovatif dengan kedua-dua pihak untuk mempercepatkan penggunaan teknologi baharu dalam ekosistem EV. Sebagai permulaan, Maxis akan membangunkan papan pemuka ESG untuk membantu pelanggan Blueshark mengukur dan menganalisis jejak karbon mereka melalui skuter elektrik Blueshark.
Papan pemuka itu akan memanfaatkan keupayaan penuh Maxis yang merangkumi awan, analitik data, dan Internet Pelbagai Benda (IoT). Rangkaian 4G dan 5G Maxis akan menyediakan ketersambungan penting bagi kenderaan-kenderaan Blueshark, memastikan pengumpulan data yang selamat dan boleh dipercayai untuk papan pemuka ESG tersebut dengan integrasi penuh antara muka pengaturcaraan aplikasi (API).
Maxis juga akan menyediakan ketersambungan rangkaian kepada stesen pertukaran bateri Blueshark, di seluruh Malaysia, untuk membantu mereka menganalisis dan menguruskan inventori bateri mereka.
Kami gembira dapat bekerjasama dengan Blueshark dan EVC, nama-nama yang dikenali ramai dalam sektor EV. Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka, kami mempunyai keupayaan yang tepat untuk memenuhi keperluan perniagaan mobiliti pintar dari hujung ke hujung. Kami berharap dapat memacu teknologi dan inovasi EV melalui penyelesaian perusahaan kami, termasuk IoT, awan, perkhidmatan terurus, serta ketersambungan 4G dan 5G - Prateek Pashine, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis
Sebagai salah satu pemain utama dalam industri EV, kami mengenal pasti tiga cabaran utama: kebolehpercayaan sambungan, kemudahan pengurusan, dan daya saing kos. Maxis menangani cabaran-cabaran tersebut dengan sambungan IoT mereka, memberikan kami liputan dan ketersambungan yang boleh dipercayai dengan platform analitik IoT, turut menyokong rangkaian pengecas JomCharge kami dengan nilai terbaik - Ir Lee Yuen How, Pengarah Urusan, EVC
Kami teruja kerana mempunyai Maxis Business sebagai rakan dalam perjalanan kami untuk menentukan masa depan mobiliti. Kelebihan Blueshark adalah dalam ketersambungan aplikasi kepada papan pemuka dan aliran data dua hala yang berterusan, di mana pelanggan kami dapat memantau dan menjejaki statistik kenderaan mereka secara langsung dengan lancar dan serta-merta. Ini bermakna aplikasi kami perlu sentiasa kekal tersambung serta tanpa lag untuk menyediakan pengalaman sentiasa hidup (always-on) kepada penunggang. Terima kasih kepada Maxis kerana kami kini dapat memperkasakan ekosistem bersambung yang kukuh dan penyelesaian IoV (Internet of Vehicles) dalam mencapai potensi sepenuhnya untuk manfaat para penunggang kami. - Jin Chan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (ASEAN), Blueshark Ecosystem Sdn Bhd