Maxis catat pertumbuhan merentas semua segmen pada suku ketiga
- Hasil Perkhidmatan pada RM2,145 juta, meningkat 1.8% tahun ke tahun
- EBITDA pada RM929 juta
- Keuntungan Selepas Cukai pada RM287 juta
- Isytihar dividen interim sebanyak 4 sen sesaham
Maxis terus mencatatkan pertumbuhan hasil yang stabil dalam suku ketiga berakhir 30 September 2023, disokong oleh segmen perniagaan Pengguna dan Perusahaan terasnya. Hasil Perkhidmatan meningkat sebanyak 1.8% tahun ke tahun (YoY) ke RM2,145 juta, didorong oleh pertumbuhan mantap dalam kedua-dua segmen tersebut. Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM929 juta, dengan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM287 juta.
Syarikat mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4 sen sesaham untuk suku tersebut.
Perniagaan Pengguna Maxis berkembang dengan mantap, dengan peningkatan hasil pascabayar sebanyak 6.3% YoY. Kesalinghubungan kediaman mencatat satu lagi suku dengan kadar pertumbuhan dua angka, disokong oleh permintaan fiber yang kuat.
Perniagaan Perusahaan Maxis juga mengekalkan momentum menaik dengan pertumbuhan hasil sebanyak 6.4% YoY, disokong oleh hasil penyelesaian tetap dan mudah alih. Syarikat terus memanfaatkan potensi penawaran perusahaannya untuk memberi manfaat kepada perniagaan berbilang saiz, termasuk memacu program geran perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PKS) oleh pihak Kerajaan, iaitu Geran Digital Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana Madani.
Pada suku ini, Maxis telah menyalurkan RM215 juta dalam perbelanjaan modal (capex) untuk kualiti rangkaian dan pengembangan kapasiti bagi memastikan pengalaman rangkaian bersepadu yang kukuh di seluruh negara. Memandangkan pelancaran 5G dan perkembangan berkaitan fiber yang terkini, Syarikat merancang untuk menguruskan capex secara teliti sambil mengembangkan pangkalan pelanggan dan penawaran perkhidmatannya.
“Saya gembira kerana kami dapat mencatatkan pertumbuhan yang stabil untuk suku ini dalam persekitaran operasi yang sangat kompetitif. Kami melihat peningkatan penggunaan yang baik untuk pelancaran 5G dan pelan-pelan fiber terkini kami baru-baru ini. Keutamaan kami ialah untuk memberi fokus kepada keunggulan operasi dan kami kekal komited sepenuhnya untuk memenuhi semua keperluan kesalinghubungan pelanggan kami.” - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis
Sorotan kewangan suku ketiga 2023: Suku ketiga 2023 berbanding suku ketiga 2022
- Hasil Perkhidmatan meningkat sebanyak 1.8% kepada RM2,145 juta, didorong oleh pertumbuhan hasil Pengguna dan Perusahaan yang mantap.
- Pascabayar mudah alih mengekalkan momentum dengan pertumbuhan sihat sebanyak 8.0% dalam bilangan pelanggan, membawa jumlah keseluruhan langganan pascabayar kepada 3.53 juta. Ini menyumbangkan kepada RM882 juta dalam hasil untuk suku ini, dengan peningkatan sebanyak 6.3%.
- Langganan Prabayar mudah alih menurun sebanyak 2.5%, selaras dengan usaha berterusan untuk memindahkan pelanggan prabayar kepada pelan pascabayar. Segmen ini mengekalkan daya tahan, dengan jumlah pelanggan keseluruhan yang stabil pada 5.68 juta dan RM652 juta dalam hasil untuk suku ketiga 2023.
- Kesalinghubungan Kediaman memberikan pertumbuhan hasil yang kukuh, meningkat sebanyak 7.4% berbanding dengan suku ketiga 2022 kepada RM231 juta oleh sebab langganan fiber yang kuat. Sambungan kediaman mencatatkan pertumbuhan pelanggan sebanyak 12.0% berbanding dengan suku yang sama tahun lepas, seterusnya membawa peningkatan bersih sebanyak 78,000 dalam jumlah sambungan keseluruhan.
- Hasil Perusahaan (tidak termasuk wholesale voice) meningkat sebanyak 6.4% berbanding dengan suku ketiga 2022 kepada RM380 juta.
- EBITDA menurun kepada RM929 juta oleh sebab caj penstrukturan semula berkaitan dengan inisiatif-inisiatif pengoptimuman kos untuk meningkatkan kecekapan operasi.
- Selaras dengan EBITDA yang lebih rendah, Keuntungan Selepas Cukai menurun kepada RM287 juta pada suku ini.
- Capex sebanyak RM215 juta untuk kapasiti dan liputan rangkaian untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.
- Aliran tunai bebas operasi berjumlah RM1,057 juta, dengan baki tunai yang stabil sebanyak RM695 juta setakat suku ketiga 2023.
Inisiatif Utama:
- Melancarkan pelan-pelan 5G baharu dengan nilai yang menarik untuk semua segmen, dengan fokus kepada kemampumilikan dan penerimaan.
- Memperkenalkan pelan-pelan prabayar serba baharu dengan pas internet yang dinaik taraf dan pulangan tunai untuk belia.
- Melancarkan pelan-pelan fiber baharu untuk menyediakan pengalaman keseluruhan dan nilai yang lebih baik, termasuk 1 dan 2Gbps buat pertama kali, dan menawarkan naik taraf kelajuan percuma untuk pelanggan sedia ada.
- Syarikat telekomunikasi yang pertama untuk membina Hab-Hab Internet Serantau di Kuching dan Kota Kinabalu, menyediakan pengalaman pengguna yang unggul kepada pengguna melalui kelajuan yang lebih tinggi dan kependaman internet yang lebih rendah, dengan ketersambungan kandungan antarabangsa langsung.
- Menyokong inisiatif Pakej 5G Rahmah dan Fiber Rahmah yang diumumkan oleh Kerajaan untuk manfaat rakyat Malaysia, terutamanya mereka dari kumpulan B40, dengan penawaran pelan pascabayar dan prabayar 5G, bundel telefon 5G, dan bundel fiber kediaman.
- Memperdalamkan kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk menandatangani Memorandum-Memorandum Persefahaman dengan Digital Penang serta syarikat tujuan khas digital kerajaan negeri Perlis, dan mengadakan bengkel Maxis eKelas Usahawan dengan Perak Digital.