Amaran: Waspada

Amaran: Waspada

Penipuan SMS yang mengaku sebagai Maxis

Maxis dan Huawei jalin kerjasama untuk Pusat Inovasi Bersama 5G-Advanced, fokus kepada pembangunan teknologi dan bakat

Maxis and Huawei team up on 5G-Advanced Joint Innovation Centre to focus on technology and talent development
  • Kerjasama diumumkan di Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 bersama dengan pameran dunia sebenar penggunaan 5G-Advanced
  • Kolaborasi untuk membangunkan peningkatan dalam pengalaman pelanggan, penggunaan rangkaian dan kecekapan operasi
  • Kerjasama untuk memupuk bakat tempatan di Malaysia melalui penglibatan akademia-industri, latihan dan inisiatif pembangunan

Maxis dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) telah mengumumkan kerjasama strategik untuk Pusat Inovasi Bersama yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi 5G-Advanced untuk menerokai dan membangunkan penyelesaian inovatif bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, kecekapan operasi, penggunaan pantas, kes penggunaan industri, dan membangunkan bakat tempatan untuk aktiviti perindustrian dan keusahawanan.

Secara keseluruhannya, kerjasama ini bertujuan untuk memacu kemajuan teknologi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap global bidang telekomunikasi.

Kerjasama tersebut telah dimeterai melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024. Dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sidang kemuncak itu bertujuan untuk memacu ekosistem pengkomersialan negara. Pertukaran MoU itu disaksikan oleh tetamu kehormat YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir adalah YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.

Di bawah terma kerjasama tersebut, Maxis dan Huawei akan meneroka inovasi dalam kapasiti gigabit untuk menyokong pengembangan rangkaian mudah alih dan teknologi 5G/5G-Advanced seperti pengkomputeran pinggir mudah alih (mobile edge computing), penghirisan rangkaian (network slicing), orkestrasi rangkaian hujung ke hujung (end-to-end network orchestration), RedCap dan internet kebendaan (IoT) Pasif (Passive-IoT). Selain itu, Maxis dan Huawei juga akan meneroka penggunaan pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) untuk mengoptimumkan kecekapan pengendalian rangkaian.

quote

“Pada bulan Februari awal tahun ini, kami telah menjadi syarikat pertama yang mempamerkan 5G-Advanced untuk orang ramai, bukan sahaja untuk negara tetapi juga serantau. Kerjasama berterusan dengan Huawei adalah salah satu daripada pelbagai langkah kami untuk menyokong cita-cita digital Malaysia. Dengan kerjasama terbaharu ini, kami ingin memanfaatkan sepenuhnya 5G-Advanced dengan meningkatkan modal insan di samping inovasi yang dikomersialkan untuk perusahaan dan industri. Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka negara, kami menantikan evolusi kesalinghubungan masa depan dan faedah ekonomi yang akan dibawakan kepada negara kita.” - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.

Simon Sun, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia berkata, “Kami yakin bahawa kerjasama ini akan membantu dalam mempercepatkan agenda transformasi digital negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai ibu negara Teknologi ASEAN. Ini adalah langkah berikut selepas Pembuktian Konsep Pulau Pintar pertama kami yang dikuasakan oleh 5.5G/5G Advanced di ASEAN yang telah berlangsung di Labuan. Bersama-sama, kami dapat memupuk inovasi dan melepasi batasan untuk memastikan Malaysia menjadi hab serantau bagi teknologi tercanggih.”

Tambahan pula, kerjasama ini akan bertumpu kepada memupuk bakat tempatan di Malaysia, dengan penekanan kepada pelajar universiti dan tenaga kerja tempatan. Melalui penglibatan akademia-industri, program latihan, dan projek R&D, kerjasama ini bertujuan memastikan bakat Malaysia dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam sektor telekomunikasi dan teknologi yang berkembang pesat.

Pada Sidang Kemuncak MCY 2024, Maxis juga mempamerkan beberapa aplikasi 5G-Advanced dan impak dunia sebenar mereka, termasuk pengajaran kelas jauh untuk bidang pendidikan, diagnosis dan penyelamatan jauh untuk bidang kesihatan, dan pengisihan dan pemasangan pintar autonomi untuk sektor pembuatan.

Maxis dan Huawei mempunyai sejarah kerjasama yang lama dalam memajukan penerimagunaan teknologi rangkaian mudah alih. Berikutan pencapaian mereka mengadakan pameran percubaan teknologi 5G-Advanced pertama di Asia Tenggara pada bulan Februari, kedua-dua syarikat telah terus menunjukkan potensi besar teknologi 5G-Advanced untuk ekonomi.

Archives
Tags