Amaran: Waspada

Amaran: Waspada

Penipuan SMS yang mengaku sebagai Maxis

Maxis berganding bahu dengan Singtel untuk mempercepat transformasi digital perusahaan melalui platform orkestrasi 5G pertama Malaysia di Sidang Kemuncak MCY 2024

Maxis partners Singtel to accelerate enterprise digital transformation with Malaysia’s first 5G orchestration platform at MCY Summit 2024
  • Platform pertama di Malaysia yang menyeluruh untuk orkestrasi rangkaian 5G, pengkomputeran pinggir, awan dan perkhidmatan, bersama dengan pasaran aplikasi, akan tersedia kepada semua perniagaan
  • Memanfaatkan Paragon, sebuah platform orkestrasi semua dalam satu terkemuka oleh Singtel, untuk menyokong inovasi dan pertumbuhan perusahaan
  • Memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada perniagaan di Malaysia untuk pelaksanaan dan pengurusan lancar penyelesaian 5G serta pengkomputeran awan

Kuala Lumpur, 14 Ogos 2024 – Maxis telah bekerjasama dengan Singtel untuk memperkenalkan platform semua dalam satu yang pertama di Malaysia merangkumi orkestrasi rangkaian 5G, pengkomputeran pinggir (edge computing), awan dan perkhidmatan, berasaskan platform Paragon oleh Singtel yang disediakan untuk rangkaian telekomunikasi. Platform ini akan menjadikan teknologi 5G-Advanced (5G-A) dan 5G, pengkomputeran pinggir dan pengkomputeran berbilang awan (multi-cloud) lebih mudah diakses oleh perniagaan Malaysia dan mempercepatkan transformasi digital merentasi pelbagai vertikal seperti pembuatan, logistik, kesihatan dan perkhidmatan awam.

Kerjasama tersebut telah dimeterai semasa Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024, acara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memacu ekosistem pengkomersialan negara. Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis dan Manoj Prasanna Kumar, Ketua Pegawai Teknologi Singtel Digital InfraCo telah diadakan di pameran Maxis di acara tersebut.

Disediakan di Malaysia melalui Maxis Business, bahagian perusahaan Maxis, platform ini akan membolehkan perkhidmatan pengkomputeran pinggir 'atas permintaan' yang memberikan pelanggan akses kepada pengkomputeran kependaman rendah, GPU sebagai Perkhidmatan (GPU as a Service, GPUaaS) dan perkhidmatan storan. Dengan keupayaan pengkomputeran pinggir berbilang akses (multi-access edge computing, MEC), data daripada pengguna akhir dan peranti dapat diproses di pinggir rangkaian. Keupayaan ini digabungkan dengan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menyediakan pemprosesan masa nyata dan kebolehan membuat keputusan pintar.

Paragon menawarkan suatu pasaran (marketplace) yang berkuasa untuk pelanggan dan rakan kerjasama Maxis, lantas menjadikannya mudah bagi perusahaan untuk membuat penghirisan rangkaian (network slicing) atas permintaan dan menggunakan aplikasi 5G yang bermisi kritikal pada MEC – semuanya dengan satu klik butang.

quote

Kerjasama kami akan memenuhi keperluan pelanggan dengan menyediakan platform 5G bersepadu yang memudahkan orkestrasi merentas persekitaran rangkaian dan awan. Platform ini membolehkan akses, kelajuan dan fleksibiliti yang lebih besar untuk perusahaan mengguna pakai serta mengurus penyelesaian 5G dan pengkomputeraan awan dengan lancar. Ini akan membantu mereka menumpu kepada perniagaan teras mereka, mengukuhkan lagi daya saing mereka di peringkat global. Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu yang terkemuka di negara ini, kami berharap untuk menyegerakan penerimagunaan 5G-A dan 5G serta pendigitalan sebagai rakan niaga digital pilihan untuk perniagaan Malaysia - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.

quote

Kami telah menyaksikan peralihan besar dalam permintaan daripada perusahaan untuk keupayaan 5G dan pengkomputeran pinggir untuk mempercepatkan transformasi digital mereka. Singtel telah menerajui peralihan tersebut dengan menjalin pelbagai perkongsian strategik dengan syarikat telekomunikasi secara global melalui platform Paragon yang memainkan peranan penting dalam penerimagunaan ini. Paragon membolehkan pengewangan yang lebih pantas bagi infrastruktur 5G dengan mengurangkan kerumitan bagi syarikat telekomunikasi untuk menyediakan dan menskalakan kes penggunaan 5G. Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Maxis untuk bersama mengembangkan dan memperdalam peluang perkhidmatan 5G dan pengewangan pengkomputeraan pinggir di Malaysia - Bill Chang, Ketua Pegawai Eksekutif Singtel Digital InfraCo.

Keupayaan platform tersebut boleh memberi faedah kepada perniagaan melalui pelbagai penggunaan perusahaan merentasi fungsi berbeza yang memerlukan pemprosesan data berkelajuan tinggi, seperti analitik masa nyata, realiti campuran dan sistem berautonomi. Platform ini akan dihoskan dan disediakan secara tempatan di Malaysia untuk memenuhi keperluan keselamatan siber dan kedaulatan data (data sovereignty) untuk perniagaan Malaysia.

Platform yang dibina dan dikuasakan oleh Paragon kini telah berjaya digunakan di empat pasaran ASEAN. Dengan Maxis membawa keupayaannya secara eksklusif ke Malaysia, platform ini boleh dikendalikan oleh syarikat multinasional dengan mudah, dengan pengalaman bersama dan seni bina yang disatukan di seluruh rantau ini. Pelancaran ini juga tepat pada masanya memandangkan persiapan Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025, di mana negara ini akan memainkan peranan yang lebih aktif untuk menerajui aspirasi ekonomi dan digital bagi kawasan serantau.

Kerjasama ini mempamerkan komitmen Maxis untuk membawa inovasi ke pasaran dan membolehkan transformasi Industri 4.0 melalui kes penggunaan dunia sebenar. Sebagai tambahan kepada penyelesaian 5G dan asli awan, komitmen ini termasuk menerajui pembangunan penyelesaian generasi akan datang di Malaysia berkenaan dengan kecerdasan buatan (AI) dan AI Generatif, internet kebendaan (IoT), dan teknologi 5G-Advanced.

Platform orkestrasi semua dalam satu

Singtel Paragon merupakan penyelesaian komprehensif yang membolehkan perusahaan bersambung dengan rangkaian 5G dan menggunakan aplikasi dan perkhidmatan pengkomputeran pinggir mereka secara selamat dan pantas berdasarkan infrastruktur syarikat telekomunikasi, sekali gus mengurangkan masa ke pasaran (time-to-market) dan menyingkatkan keluk inovasi. Paragon juga akan mengurangkan halangan untuk mengguna pakai perkhidmatan MEC, menambah kecekapan dan inovasi perniagaan untuk perusahaan. Untuk maklumat lanjut tentang platform Paragon Singtel, sila layari: www.singtel.com/business/products-services/5g/paragon

Archives
Tags