Makluman: Penamatan Pembayaran Cek untuk Pengguna.

Makluman: Penamatan Pembayaran Cek.

Ketahui info lanjut.

Melaka ICT Holdings dan Maxis jalin kerjasama untuk memperkasakan infrastruktur kesalinghubungan jalur lebar di Melaka

Maxis - MITCH MoU Exchange
  • Sebagai rakan teknologi pilihan, Maxis akan menyumbang kepakaran teknologinya untuk membantu pembangunan infrastruktur ketersambungan di Melaka
  • Maxis akan bekerjasama dengan MICTH untuk meningkatkan kapasiti jalur lebar melalui fiberisasi tapak mudah alih dan perluasan liputan fiber ke premis
  • Kerjasama ini bertujuan untuk memangkin pendigitalan di Melaka selaras dengan agenda transformasi digital negeri

Melaka ICT Holdings (MICTH), badan pembangunan infrastruktur dan telekomunikasi kerajaan negeri Melaka, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Maxis, syarikat telekomunikasi terkemuka di Malaysia, untuk memperkasakan infrastruktur kesalinghubungan jalur lebar bagi rakyat dan perniagaan di negeri ini.

Sebagai rakan teknologi pilihan, Maxis akan menyumbang kepakarannya untuk membantu pembangunan infrastruktur ketersambungan di negeri Melaka. Ini termasuk meningkatkan kapasiti jalur lebar melalui fiberisasi tapak mudah alih, serta memperluaskan liputan fiber ke premis (FTTP) bagi kediaman dan perniagaan. Selain itu, Maxis akan bekerjasama dengan MICTH untuk meningkatkan kesalinghubungan dan perkhidmatan digital di pejabat awam serta kawasan komuniti.

Kerjasama ini bertujuan untuk memacu pendigitalan di seluruh negeri selaras dengan Blueprint Melaka Pintar 2035, yang menggariskan visi strategik kerajaan negeri dalam merealisasikan agenda transformasi digital Bandar Pintar Melaka.

Pertukaran MoU antara pihak MICTH dan Maxis telah disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, semasa acara pelancaran Smart Melaka International Conference & Exhibition 2024 (SMIX2024) hari ini. MICTH telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Nazdiana Ab. Wahab, manakala Maxis diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Goh Seow Eng.

quote

“Kami sukacita dapat bekerjasama dengan Maxis melalui komitmen bersama untuk membangunkan infrastruktur telekomunikasi yang tepat bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan negeri Melaka. Bersama-sama, kami boleh meneroka cara-cara baharu dan inovatif untuk memacu transformasi digital negeri ini bagi memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab perniagaan dan pelancongan. Usaha ini akan menyokong penciptaan ekonomi yang inklusif, bertenaga, dan makmur sepertimana yang disasarkan oleh kerajaan negeri Melaka dalam Blueprint Melaka Pintar 2035.” - Dr. Nazdiana Ab. Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif MICTH

quote

"Bersama dengan MICTH, kami berharap untuk meningkatkan kesalinghubungan jalur lebar lagi untuk rakyat dan perniagaan di Melaka. Kami telah lama beroperasi di negeri ini dalam menyediakan ketersambungan yang pantas, selamat dan boleh dipercayai melalui rangkaian mudah alih dan fiber sedia ada kami. Kerjasama ini turut merupakan perkembangan terkini dalam komitmen kami untuk menyokong agenda digital Malaysia. Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, kami akan terus meneroka kes penggunaan yang bersedia untuk masa depan seperti penyelesaian Bandar Pintar dan industri yang dikuasakan oleh teknologi 5G-Advanced.” - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis

Kerjasama Maxis dengan MICTH adalah sejajar dengan usaha berterusannya untuk mempromosikan penyelesaian Bandar Pintar 5G-A yang akan memanfaatkan kelajuan ultrapantas dan kependaman yang lebih rendah yang disediakan oleh ketersambungan generasi akan datang. Usaha ini termasuk meneroka kes penggunaan 5G-A bagi manfaat kerajaan tempatan dan pembangunan hartanah, dan kerjasama dengan rakan teknologi dalam inovasi 5G-A bersama untuk manfaat perniagaan dan industri.

Blueprint Melaka Pintar 2035 merangka aspirasi negeri ini untuk menjalani transformasi sepenuhnya ke arah menjadi Bandar Pintar dalam dekad akan datang. Pelan ini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi, inovasi, dan pembangunan mampan untuk meningkatkan kualiti hidup, pertumbuhan ekonomi, dan kemampanan alam sekitar. Ini termasuk memanfaatkan inisiatif pintar dan pemerkasaan data yang diperhebat untuk mempercepatkan peralihan Melaka ke arah ekosistem Bandar Pintar yang lengkap.

Archives
Tags