Maxis pamer penyelesaian Mobile Identity untuk bolehkan pengesahan lancar dan selamat pada platform digital
- Penyelesaian memudahkan pengalaman pengguna dengan membolehkan pengesahan lancar dan selamat pada platform digital berdasarkan data telekomunikasi masa nyata
- Penyelesaian Mobile Identity Maxis menawarkan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) pengesahan canggih, bermula dengan API Pengesahan Nombor
- API telekomunikasi akan membuka peluang lebih besar untuk perniagaan dan industri dalam menyampaikan pengalaman digital yang selamat dan lancar
Maxis, penyedia telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, baru-baru ini mempamerkan penyelesaian Mobile Identity Maxis dalam menyampaikan pengalaman pengesahan yang lancar, selamat dan dipermudahkan bagi pengguna mudah alih. Penyelesaian ini akan memanfaatkan suite antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) pengesahan telekomunikasi yang canggih, bermula dengan API Pengesahan Nombor.
API Pengesahan Nombor ini mengesahkan peranti mudah alih dengan memperakui bahawa nombor telefon yang diberikan sepadan dengan nombor yang digunakan pada peranti tersebut berdasarkan data telekomunikasi masa nyata. Ini memastikan pengalaman pengguna yang dipermudahkan daripada onboarding aplikasi kepada penetapan semula kata laluan dan log masuk, dengan menggantikan kata laluan sekali guna (OTP) atau kod kebenaran transaksi (TAC) berasaskan SMS.
Melalui penyelesaian ini, nombor mudah alih boleh disahkan dengan selamat terhadap nombor yang sah dan aktif di latar belakang tanpa perlu meninggalkan platform. Ini menjadikan perjalanan pengguna lebih lancar dan intuitif. Di samping itu, penyelesaian tersebut meningkatkan keselamatan dengan menghapuskan pendedahan pelanggan kepada penipuan melalui kaedah SMS dalam pengesahan transaksi. Kelebihan ini bersesuaian untuk pelanggan penyedia perkhidmatan kewangan seperti bank, dan platform e-dagang, mengurangkan risiko penipuan.
Mobile Identity Maxis telah dipamerkan di Smart Nation Expo 2024 dalam kehadiran Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo. Berikutan pameran itu, Maxis Business, bahagian B2B Maxis, berharap dapat melibatkan institusi kewangan, platform e-dagang dan pembangun aplikasi untuk memacu penerimagunaan lebih banyak penyelesaian API canggih sedemikian bagi meningkatkan pengalaman pengguna.
Kami teruja untuk meneroka pelbagai kemungkinan yang dibolehkan oleh API telekomunikasi dalam meningkatkan lagi pengalaman pelanggan. Dengan penyelesaian ini, kami bukan sahaja memudahkan proses untuk pengguna tetapi juga melindungi mereka daripada penipuan. Kami percaya bahawa penggunaan lebih banyak penyelesaian berasaskan API seperti ini akan membuka peluang yang lebih besar untuk perniagaan dan industri untuk menyampaikan interaksi digital yang lebih lancar dan selamat dari hujung ke hujung. - Prateek Pashine, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis
Penyelesaian Mobile Identity Maxis dibina untuk kesalingkendalian dan persekutuan teknologi di kalangan pengendali. Maxis bekerjasama dengan Singtel dalam sekutu teknologi serantau bagi API telekomunikasi bagi membolehkan pengesahan berasaskan rangkaian untuk pelanggan mudah alih. Kerjasama tersebut berakar umbi daripada inisiatif Bridge Alliance API Exchange (BAEx) yang telah menerima sokongan daripada 13 syarikat telekomunikasi terkemuka di Asia termasuk Maxis.
Penyelesaian ini berfungsi mengikut rangka kerja Gerbang Terbuka GSMA (CAMARA), satu inisiatif diiktiraf di peringkat global yang direka untuk menyediakan akses universal dan memastikan penyebaran pantas dan penyepaduan merentas negara dan rangkaian mudah alih yang berbeza, membolehkan lebih banyak penyedia perkhidmatan dan pengguna akhir mendapat manfaat daripada penyelesaian tersebut. Selain itu, kesalingkendalian API mengikut rangka kerja dan piawaian CAMARA memudahkan penyepaduan untuk pembangun, membolehkan penciptaan aplikasi mudah alih yang lebih dipercayai, cekap dan selamat.
Untuk maklumat lanjut tentang Mobile Identity Maxis, layari https://www.business.maxis.com.my/en/digital-services/mobile-identity/