Maxis dan UTAR jalin kerjasama inovatif bangunkan penyelesaian 5G dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan
- MoU terokai peluang berdaya maju secara komersial berkaitan pembangunan penyelesaian 5G dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan
- Kerjasama juga akan memudahkan pembangunan penyelesaian dengan memanfaatkan intrastruktur rangkaian Maxis dan kepakaran UTAR
- Maxis Business tampilkan komitmen jadi rakan niaga digital pilihan
Maxis, penyedia telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) akan bekerjasama dalam pembangunan penyelesaian 5G, dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian dan keupayaan teknologi Maxis serta kepakaran UTAR sebagai institusi pengajian tinggi ternama.
Kedua-dua organisasi itu akan meneroka peluang berdaya maju secara komersial berkaitan penggunaan penyelesaian 5G, dengan memfokuskan inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan dan pendidikan. Di samping kedua-dua bidang ini, penyelesaian bersama seperti keselamatan siber, teknologi hijau dan inisiatif kampus pintar juga boleh dibangunkan dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian Maxis.
Dalam bidang penjagaan kesihatan, penyelesaian didayakan 5G yang mungkin berpotensi untuk diterokai termasuk pembedahan jarak jauh (tele-surgeri), tele-perubatan canggih, perundingan jarak jauh dan pemantauan kesihatan masa nyata. Bagi pendidikan, penyelesaian mungkin dibangunkan untuk memudahkan dan meningkatkan pengalaman pembelajaran melalui persekitaran yang imersif dan penyampaian kandungan interaktif.
Sebagai contoh, aplikasi realiti tambahan (AR) didayakan 5G membolehkan akses jauh dan penyertaan dalam kuliah sambil memperkaya pengalaman pembelajaran melalui kandungan multimedia yang disepadukan ke dalam persekitaran dunia sebenar.
Kerjasama ini dirasmikan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ir. Prof. Dato’ Dr Ewe Hong Tat, Presiden UTAR dan Prateek Pashine, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis mewakili organisasi masing-masing.
“Saya gembira UTAR dapat bekerjasama dengan Maxis dalam perjalanan inovatif ini untuk membangunkan penyelesaian 5G yang canggih. Kerjasama ini sejajar dengan komitmen UTAR untuk memupuk penyelidikan dan inovasi yang menangani keperluan kritikal dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan. Dengan memanfaatkan gabungan kekuatan akademia dan industri, kami boleh mencipta bersama penyelesaian transformatif yang menyumbang kepada kemajuan teknologi dan kemajuan masyarakat.” - Ir. Prof. Dato’ Dr Ewe Hong Tat, Presiden UTAR
“Maxis berbangga dapat bekerjasama dengan rakan yang berfikiran sama seperti UTAR sambil kami bersama-sama meneroka dunia yang penuh dengan peluang didayakan oleh teknologi 5G. Penjagaan kesihatan dan pendidikan adalah bidang kritikal yang memerlukan idea sedia masa hadapan dan kerjasama industri-akademia seperti ini akan membantu mempercepatkan inovasi. Melalui Maxis Business, kami berharap dapat membolehkan penyelesaian 5G yang mampu meningkatkan persekitaran penyampaian penjagaan kesihatan dan pendidikan, menjadikannya lebih dinamik, mudah diakses dan diperibadikan.” - Prateek Pashine, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis
Kerjasama ini dibina atas inisiatif terdahulu oleh Maxis Business, bahagian B2B Maxis, untuk memacu penerimagunaan penyelesaian 5G dan 5G-Advanced dalam kalangan perniagaan di Malaysia. Maxis Business kekal komited untuk menjadi rakan niaga digital pilihan melalui penyelesaian ketersambungan dan ketersambungan-tambahan (connectivity-plus) hujung ke hujungnya.
Sebelum ini, UTAR telah memilih Maxis pada 2019 untuk menyediakan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi kepada dua buah kampus di Sungai Long dan Kampar. Melalui kerjasama itu, setiap kampus telah dilengkapi penyelesaian kesalinghubungan Maxis yang juga dapat membolehkan UTAR meningkatkan kelancaran jalur lebar mereka ke kelajuan yang lebih tinggi.