Maxis dan Huawei bekerjasama untuk memacu operasi rangkaian pintar dikuasai AI dan ML

- Kerjasama menumpukan pada penyepaduan AI dan ML ke dalam operasi rangkaian Maxis untuk meningkatkan kualiti rangkaian dan kecekapan operasi
- Maxis menyasarkan untuk mencapai operasi rangkaian pintar melalui proses automasi pengoptimuman kendiri
- Kerjasama dijalin di Kongres Dunia Mudah Alih 2025 di Barcelona
Maxis dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) telah mengumumkan kerjasama strategik untuk memajukan operasi rangkaian pintar melalui Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML). Perkongsian ini bertujuan untuk mempercepatkan transformasi digital Maxis dengan menyepadukan teknologi rangkaian pintar dan teknologi pengoptimumman kendiri yang boleh meningkatkan pengalaman pengguna dan menambah baik kecekapan operasi.
Kerjasama tersebut telah dimeterai di Kongres Dunia Mudah Alih 2025 di Barcelona melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU), dihadiri oleh Yang Berhormat Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia. Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, dan Simon Sun, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia mewakili organisasi masing-masing.
Melalui kerjasama ini, Maxis dan Huawei akan memulakan projek komprehensif bersama bagi meningkatkan lagi penyepaduan teknologi AI dan ML dalam operasi rangkaian Maxis. Dengan penggunaan keupayaan AI sedia ada Maxis dalam operasinya, usaha ini akan meneroka lebih banyak peluang untuk meningkatkan pengalaman rangkaian pelanggan melalui pemantauan kualiti perkhidmatan berkuasa AI/ML, pengoptimuman rangkaian automatik dan ramalan pengesanan dan penyelesaian isu dengan pantas.
Kerjasama ini akan menyokong Maxis dalam perjalanan berterusannya untuk mencapai Pusat Operasi Rangkaian Pintar, dengan membolehkan automasi berkuasa AI/ML untuk mengurangkan proses manual, meningkatkan jaminan kualiti dan meningkatkan kecekapan operasi.
“Kerjasama ini menunjukkan pendigitalan berterusan kami ke arah operasi rangkaian yang lancar dan pintar. Dengan meluaskan penggunaan AI dan ML dalam rangkaian pengoptimuman diri kami, kami boleh memudahkan lagi proses, menambah baik pengalaman rangkaian dan meneroka penyelesaian baharu yang inovatif. Kami akan terus menjadi pengguna pintar AI, memanfaatkan keupayaannya untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami dan memacu kecemerlangan operasi.” - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis
“Huawei telah mempergiatkan usaha dalam menyelidik dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan dalam bidang operasi rangkaian, pengoptimuman dan perkhidmatan. Kami komited untuk menyokong Maxis dalam membina rangkaian yang cekap, boleh dipercayai dan pintar. Selain meningkatkan operasi dengan AI dan ML, kami juga akan menyepadukan pengurusan rangkaian pintar dengan operasi perniagaan tangkas untuk Maxis, membolehkan pembukaan aliran hasil baharu, pemacuan inovasi perkhidmatan, serta peningkatan nilai kepada pelanggan,” - Simon Sun, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia
Kerjasama ini memperkukuh perkongsian jangka panjang antara Maxis dan Huawei untuk mempercepat inovasi rangkaian dan menegaskan visi bersama untuk memacukan transformasi digital, termasuk dalam teknologi komunikasi generasi baharu.