Makluman: Penamatan Pembayaran Cek untuk Pengguna.

Makluman: Penamatan Pembayaran Cek.

Ketahui info lanjut.

Rangkaian 5G: Maxis kekal teguh dengan komitmen untuk menyediakan nilai dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara

Maxis

Maxis mengambil maklum pilihan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan pengendali rangkaian mudah alih yang akan membina dan mengendalikan rangkaian 5G kedua negara, komponen yang kritikal dalam infrastruktur komunikasi dan pelan pembangunan Malaysia. Kami akan melibat urus pihak SKMM untuk memahami rasional keputusan mereka dan akan mempertimbangkan pilihan-pilihan kami selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.

Maxis adalah syarikat tempatan Malaysia yang diterajui oleh orang Malaysia dan dimiliki terutamanya oleh orang Malaysia dengan 77% saham dipegang oleh orang Malaysia. Penglibatan kami yang mendalam melalui kehadiran meluas di Malaysia memastikan bahawa kami sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara. Kami komited sepenuhnya kepada pembangunan jangka panjang Malaysia, dan juga untuk memastikan bahawa seluruh negara kita dapat berkongsi manfaat 5G dan ekonomi digital.

Sebagai penyokong kuat model dwirangkaian 5G, kami telah mengemukakan cadangan teknikal dan komersial yang komprehensif sebagai respons kepada jemputan tender dari SKMM untuk rangkaian 5G kedua. Cadangan kami merangkumi pengalaman kami selama 30 tahun dalam membina, mengendalikan, dan membiayai rangkaian bertaraf tertinggi serta menyediakan perkhidmatan yang terunggul kepada pelanggan kami di Malaysia.

Cadangan rangkaian 5G Maxis adalah berdasarkan teknologi 5G-Advanced (5G-A), iterasi 5G seterusnya dengan keupayaan yang dipertingkatkan yang dibangunkan untuk penggunaan perusahaan. Dengan keupayaan meluas perniagaan perusahaan Maxis yang boleh memenuhi keperluan ICT untuk lebih daripada 140,000 pelanggan perusahaan, Maxis bersedia untuk membantu meningkatkan penerimagunaan 5G dalam kalangan perusahaan, salah satu matlamat utama kerajaan.

Maxis telah sentiasa menyediakan kesalinghubungan yang pantas, selamat dan boleh dipercayai untuk pengguna, perniagaan dan sektor awam. Liputan meluas kami dengan lebih daripada 11,000 tapak mudah alih di seluruh negara boleh dinaik taraf bagi menyampaikan pengalaman 5G yang terbaik dan memacu pembangunan digital negara. Sebahagian besar daripada tapak mudah alih kami telah dilengkapi fiber, dan kami akan mempercepatkan fiberisasi untuk menyokong kelajuan 5G yang semakin pantas.

Dengan infrastruktur rangkaian kukuh dan kepakaran Maxis, cadangan pelaksanaan rangkaian 5G kami dijangka mengambil masa dan sumber yang jauh lebih sedikit untuk mencapai peratus liputan kawasan berpenduduk yang sama seperti rangkaian 5G pertama. Liputan 5G dalam bangunan turut akan disediakan di kawasan tersebut.

Sementara kami terus meneroka pilihan kami mengenai 5G dan melibat urus semua pihak berkepentingan, kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami—sama ada pengguna mahupun perusahaan—serta rakyat bahawa mereka akan dapat terus menikmati perkhidmatan 5G melalui perjanjian akses sedia ada kami dengan Digital Nasional Berhad (DNB). Kami akan kekal teguh dalam komitmen kami untuk menyediakan nilai dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan kami dan rakyat Malaysia.

Archives
Tags