Makluman: Penamatan Pembayaran Cek untuk Pengguna.

Makluman: Penamatan Pembayaran Cek.

Ketahui info lanjut.

Maxis pupuk bakat sedia masa depan dengan biasiswa untuk pelajar Malaysia yang mengikuti kursus STEM

Maxis pupuk bakat sedia masa depan dengan biasiswa untuk pelajar Malaysia yang mengikuti kursus STEM
  • 700 permohonan diterima daripada pelajar universiti awam dan swasta terkemuka di Malaysia dan Singapura
  • Fokus pada pendidikan STEM mencerminkan usaha berterusan Maxis utuk memajukan agenda digital negara
  • Sejak 2006, Maxis telah memberikan biasiswa kepada 346 pelajar setakat ini

Maxis, penyedia telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, telah menganugerahkan biasiswa kepada 16 pelajar yang layak di bawah Program Biasiswa Maxis 2024. Program tahun ini memberi tumpuan kepada pelajar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dengan matlamat untuk menggabungkan bantuan kewangan dengan pendedahan industri yang berharga.

Biasiswa tersebut disampaikan kepada para penerima oleh Pengerusi Interim Maxis, Dato’ Hamidah Naziadin dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng pada majlis yang diadakan bersama pelajar dan ibu bapa baru-baru ini.

Terbuka kepada pelajar Malaysia yang berdaftar di universiti awam dan swasta di Malaysia dan Singapura, sebanyak 700 permohonan telah diterima pada tahun ini. Selain menampung yuran pengajian dan kos sara hidup, program biasiswa ini menawarkan peluang latihan amali, pengalaman praktikal dan penempatan pekerjaan yang terjamin dengan Maxis selepas tamat pengajian.

Penekanan terhadap pendidikan STEM mencerminkan usaha berterusan Maxis untuk memajukan agenda digital negara. Maxis sentiasa komited untuk membangunkan bakat tersedia masa hadapan bagi ekonomi masa depan. Ini termasuk memupuk kemahiran dan kepakaran berkaitan dengan teknologi generasi akan datang seperti kecerdasan buatan (AI), awan, data dan 5G.

Maxis telah menyediakan biasiswa sejak 2006 untuk membantu pelajar-pelajar mencapai aspirasi akademik mereka, dengan sebanyak 346 biasiswa telah diberikan setakat ini.

quote

“Di Maxis, kami percaya dalam pembangunan insan, terutamanya belia kami, bagi mencapai potensi penuh mereka. Dengan memperkasakan mereka dengan pendedahan dan peluang yang betul, kita dapat memupuk tenaga bakat Malaysia tersedia masa hadapan yang dapat berjaya sebagai pemimpin masa depan. Ini adalah selaras dengan tujuan kami untuk menghubungkan orang dan perniagaan kepada dunia yang penuh kemungkinan.” - Patrick Er, Ketua Pegawai Sumber Manusia & Transformasi Maxis

Berikut adalah beberapa petikan daripada penerima biasiswa Maxis 2024:

Nur Amirah Syahirah, pelajar tahun pertama Sains Komputer (Sistem Komputer dan Rangkaian) di Universiti Malaya (UM), berkata: “Biasiswa ini telah membolehkan saya memberi tumpuan kepada akademik, aktiviti kokurikulum, dan membina kerjaya saya. Ia telah membuka laluan baharu, peluang rangkaian dan prospek kerjaya. Saya benar-benar berterima kasih kepada Maxis atas peluang yang mengubah hidup ini.”

Kirtanan A/L Mani Maran berkata biasiswa ini akan membolehkannya untuk tumpuan kepada ijazah Kecerdasan Buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTMKL): “Saya akan terus mengekalkan prestasi akademik dan mengejar pengetahuan dalam bidang kecerdasan buatan, terutamanya AI dalam rangkaian 5G. Menjadi salah seorang penerima Biasiswa Maxis memberi saya peluang untuk bekerja dengan pakar IT dan AI, di mana ia akan meningkatkan lagi pengetahuan dan kepakaran saya dalam AI.”

Tee Zhi Yee, pelajar tahun pertama Perakaunan dan Kewangan di Sunway University, menyatakan: “Biasiswa ini telah menyemarakkan cita-cita saya untuk meneruskan kerjaya dalam perakaunan dan kewangan. Ini adalah peluang untuk saya membina hubungan berharga dan membangunkan kemahiran penting yang akan menyediakan saya untuk peranan profesional pada masa hadapan. Saya berasa sangat bertanggungjawab untuk memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin, dan saya komited untuk bekerja lebih keras daripada sebelumnya untuk mencapai matlamat saya.”

Archives
Tags