Maxis kekal di landasan dengan prestasi sihat pada suku ketiga
- Keuntungan Selepas Cukai sebanyak RM366 juta, meningkat 27.5% tahun ke tahun (YoY)
- Hasil Perkhidmatan berjumlah RM2,213 juta, meningkat 3.2% YoY
- EBITDA sebanyak RM1,048 juta, meningkat 12.8% YoY
- Dividen interim sebanyak 4 sen sesaham
Maxis, syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, mengekalkan momentum pertumbuhan untuk suku ketiga berakhir 30 September 2024 dengan peningkatan dalam Hasil Perkhidmatan sebanyak 3.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM2,213 juta. Tumpuan Syarikat kepada menyediakan tawaran nilai yang menarik melalui segmentasi pelanggan bersasar menyumbang kepada prestasi yang lebih kukuh dalam kedua-dua perniagaan Pengguna dan Perusahaan Maxis.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mengukuh sebanyak 12.8% YoY kepada RM1,048 juta, manakala Keuntungan Selepas Cukai (PAT) yang dilaporkan meningkat 27.5% kepada RM366 juta. Tidak termasuk pelarasan one-off yang berkaitan dengan pengoptimuman kos pada suku yang sama tahun sebelumnya, PAT dasar (underlying PAT) telah meningkat sebanyak 6.4% YoY. Peningkatan dalam keuntungan dasar (underlying profitability) telah didorong oleh hasil perkhidmatan yang lebih tinggi serta pengurusan kos yang berhemat. Syarikat mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4 sen sesaham.
Perniagaan Pengguna Maxis mencatatkan peningkatan sebanyak 2.9% YoY dalam hasil perkhidmatan, dengan pertumbuhan merentas segmen-segmen Mudah Alih dan Kediaman. Pengguna Mudah Alih, termasuk pascabayar dan prabayar, mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 2.1% seiring dengan pertumbuhan pelanggan yang stabil sebanyak 3.8% YoY. Maxis terus menyediakan tawaran nilai menarik yang disesuaikan kepada segmen yang berbeza. Ini termasuk tawaran-tawaran untuk migrasi prabayar ke pascabayar serta penawaran yang disesuaikan sepadan dengan kitaran hayat pelanggan. Maxis juga menyediakan kelajuan yang lebih pantas dan kuota data yang dinaik taraf untuk memenuhi penggunaan data pelanggan yang semakin meningkat, dan telah mengalihkan semua pelanggan kepada 5G.
Segmen Kediaman Maxis mencatatkan peningkatan 8.7% YoY dalam hasil perkhidmatan, dengan pertumbuhan yang didorong oleh langganan jalur lebar fiber. Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu sebenar, Maxis menawarkan pakej dan tawaran jalur lebar, mudah alih serta peranti yang menarik untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan. Ini termasuk program pemilikan peranti pintar Zerolution, yang memudahkan pelanggan untuk mendapatkan pelbagai peranti mudah alih dan peranti kediaman untuk semua keperluan gaya hidup mereka.
Perniagaan Perusahaan Maxis meneruskan momentum pertumbuhan dengan peningkatan dalam hasil perkhidmatan sebanyak 4.2% YoY, selaras dengan pendigitalan berterusan dalam sektor swasta dan sektor awam. Dengan jangkaan pertumbuhan di sekitar pusat-pusat data, internet kebendaan (IoT), awan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), Maxis komited untuk menyediakan penyelesaian ketersambungan dan ketersambungan-tambahan (connectivity-plus) yang pantas, selamat dan boleh dipercayai untuk menyokong ekonomi digital Malaysia.
“Kami kekal di landasan untuk menutup tahun ini dengan prestasi kukuh. Kami mengekalkan tumpuan kami kepada menyediakan pengalaman kesalinghubungan yang terbaik, dibolehkan oleh kecemerlangan rangkaian dan pelaksanaan berdisiplin dalam setiap segmen. Ini selaras dengan komitmen kami yang teguh untuk memenuhi keperluan pelanggan melalui produk dan perkhidmatan bertaraf tertinggi.” - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis
Sorotan kewangan suku ketiga 2024: Suku ketiga 2024 berbanding suku ketiga 2023
- Hasil Perkhidmatan meningkat sebanyak 3.2% kepada RM2,213 juta, didorong oleh pertumbuhan perniagaan Pengguna dan Perusahaan.
- Hasil Pengguna Mudah Alih meningkat sebanyak 2.1% seiring dengan pertumbuhan pelanggan yang stabil sebanyak 3.8%, membawa kepada jumlah pelanggan pascabayar dan prabayar sebanyak 9.56 juta. Pertumbuhan telah dipacu oleh penumpuan kepada segmentasi dan peningkatan tawaran nilai, termasuk menyediakan kelajuan lebih pantas dan kuota internet yang dinaik taraf.
- Hasil perkhidmatan Kesalinghubungan Kediaman meningkat sebanyak 8.7% kepada RM251 juta. Sambungan kediaman mencapai 782,000 didorong oleh peningkatan berterusan dalam pelanggan jalur lebar fiber.
- Hasil perkhidmatan perusahaan meningkat sebanyak 4.2% kepada RM396 juta didorong oleh strategi segmen tertumpu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian ketersambungan dan ketersambungan-tambahan (connectivity-plus).
- EBITDA mengukuh sebanyak 12.8% kepada RM1,048 juta.
- PAT meningkat sebanyak 27.5% kepada RM366 juta. Tidak termasuk pelarasan one-off yang berkaitan dengan pengoptimuman kos pada suku yang sama tahun sebelumnya, PAT dasar (underlying PAT) meningkat sebanyak 6.4% YoY. Peningkatan dalam keuntungan dasar (underlying profitability) telah didorong oleh hasil perkhidmatan yang lebih tinggi serta pengurusan kos yang berhemat.
- Capex sebanyak RM140 juta dilaburkan secara strategik pada suku tersebut ke dalam kawasan sasaran agar lebih kalis masa hadapan, termasuk mengukuhkan tulang belakang transmisi, mengembangkan rangkaian fiber dan mendigitalkan proses.
- Aliran tunai bebas operasi menurun kepada RM753 juta disebabkan oleh pembayaran cukai yang lebih tinggi, dengan baki tunai yang sihat sebanyak RM827 juta.
Inisiatif Utama:
- Memperkenalkan platform semua dalam satu pertama di Malaysia untuk rangkaian 5G, pengkomputeran pinggir, awan dan orkestrasi perkhidmatan dengan kerjasama Singtel.
- Menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang memperkenalkan unit pemprosesan grafik-sebagai-perkhidmatan (GPUaaS) berasaskan awan yang membolehkan pengkomputeran berprestasi tinggi berskala dan pemprosesan data atas permintaan dengan kerjasama Singtel.
- Mengumumkan Pusat Inovasi 5G-Advanced dengan Huawei untuk memacu kemajuan teknologi dan memupuk bakat tempatan.
- Bekerjasama dengan IJM Perennial dan GlobalComm untuk menyediakan ketersambungan mudah alih dan tetap serta penyelesaian yang dikuasakan oleh teknologi 5G-Advanced dan IoT untuk pembangunan The Light City di Pulau Pinang.
- Melancarkan Hotlink Uni Legends MLBB 2024, pertandingan esports pertama Syarikat yang menampilkan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.