Makluman: Penamatan Pembayaran Cek untuk Pengguna.

Makluman: Penamatan Pembayaran Cek.

Ketahui info lanjut.

SDEC dan Maxis berganding bahu untuk memacu digitalisasi dan pembangunan bakat teknologi di Sarawak

SDEC and Maxis join hands to drive digitalisation and technology talent development in Sarawak

YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (tengah) bersama Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC (keempat dari kiri) dan Mariam Bevi Batcha, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis (kelima dari kanan) di pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SDEC dan Maxis, bersama YB Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi I (Telekomunikasi) Sarawak (keempat dari kanan), Datu Jafri bin Lias, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (ketiga dari kiri), Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (kedua dari kiri), Prof Jugdutt (Jack) Singh, Ketua Saintis dan Ketua Penasihat untuk Ekonomi Digital, Sarawak (kedua dari kanan), dan wakil-wakil kanan Maxis.

  • SDEC dan Maxis akan bersama-sama meneroka peluang digitalisasi di Sarawak melalui kesalinghubungan Internet Kebendaan (IoT)
  • SDEC akan memanfaatkan kepakaran Maxis untuk membangunkan pengetahuan dan kemahiran teknologi bagi memastikan bakat tempatan dilengkapi kemahiran digital
  • Kerjasama ini selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030, yang bertujuan untuk memupuk masyarakat digital yang inklusif dan hijau menjelang 2030

Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), agensi pelaksana utama inisiatif Ekonomi Digital Sarawak, dan Maxis, penyedia telekomunikasi terkemuka di Malaysia, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka peluang bagi memacu digitalisasi dan inisiatif pembangunan bakat di Sarawak.

Kerjasama ini telah dimeterai melalui pertukaran MoU yang dihadiri oleh YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak semasa Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2024 (IDECS 2024). SDEC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman, manakala Maxis diwakili oleh Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat, Mariam Bevi Batcha.

SDEC dan Maxis akan bersama-sama meneroka peluang digitalisasi di Sarawak melalui kesalinghubungan Internet Kebendaan (IoT), termasuk teknologi NarrowBand-IoT (NB-IoT). Sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan bakat, SDEC juga akan memanfaatkan kepakaran Maxis untuk membangunkan pengetahuan dan kemahiran teknologi bagi tenaga kerja Sarawak, memastikan bakat tempatan dilengkapi kemahiran digital untuk ekonomi masa depan.

Kerjasama ini selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030, yang menetapkan cita-cita kerajaan Sarawak untuk mengembangkan ekonomi digital sambil memupuk masyarakat digital yang inklusif dan hijau menjelang 2030.

quote

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan yang berfikiran sama dalam Maxis melalui komitmen bersama kami untuk membangunkan penyelesaian kesalinghubungan dan bakat digital yang sesuai untuk memenuhi keperluan semasa dan masa depan Sarawak. Bersama-sama, kita boleh meneroka cara inovatif untuk memacu digitalisasi rantau ini, mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab teknologi termaju. Ini adalah sejajar dengan komitmen kami untuk mempercepatkan kemakmuran ekonomi bagi semua rakyat Sarawak melalui digitalisasi.” - Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC

quote

“Bersama SDEC, kami berharap dapat meningkatkan kesalinghubungan dan pembangunan bakat teknologi di Sarawak. Kerjasama ini menandakan pencapaian terbaharu dalam komitmen kami untuk menyokong agenda digital Sarawak. Tahun lepas, kami menjadi syarikat telekomunikasi pertama yang menubuhkan hab internet serantau di Sarawak, membolehkan ketersambungan internet langsung ke kandungan antarabangsa. Kami akan terus membina atas komitmen kami dengan melabur dalam rangkaian kami yang pantas, selamat dan boleh dipercayai, serta meneroka kes penggunaan yang dikuasakan oleh 5G yang sedia untuk masa hadapan.” - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis

Kerjasama Maxis dan SDEC adalah selaras dengan usaha berterusan Maxis untuk mempromosikan penyelesaian industri dan Bandar Pintar 5G. Ini termasuk menguji kes penggunaan untuk memberi manfaat kepada kerajaan tempatan dan pembangunan hartanah, serta bekerjasama dengan rakan teknologi dalam inovasi 5G-Advanced bagi membawa manfaat kepada perniagaan dan industri.

SDEC komited untuk memainkan peranan dalam merealisasikan cita-cita digital dan kesalinghubungan Sarawak melalui pelbagai inisiatif seperti perkongsian awam-swasta, Pusat Kecemerlangan (CoE) dan program penyelidikan serta pembangunan yang inovatif. Pada awal tahun ini, SDEC telah menjalin perjanjian perkhidmatan Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (MOCN) dengan empat Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO), termasuk Maxis, untuk meningkatkan kesalinghubungan digital di kawasan luar bandar Sarawak.

Archives
Tags