Maxis terus sokong komuniti terjejas akibat banjir
- Kotak makanan telah diagihkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi kepada keluarga yang terjejas akibat banjir di Kelantan baru-baru ini
- Inisiatif adalah sebahagian daripada sumbangan wang dan barangan oleh Maxis berjumlah RM2.2 juta untuk bantuan dan pemulihan banjir
- Maxis kekal teguh dalam komitmennya menyokong usaha kemanusiaan
Maxis, penyedia telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, kekal komited untuk menyokong komuniti terjejas banjir melalui sumbangan untuk usaha bantuan dan pemulihan. Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, Maxis telah menyumbang RM2 juta kepada Dana Ihsan MADANI pihak Kerajaan. Tambahan RM200,000 telah diperuntukkan untuk bantuan barangan yang terdiri daripada bekalan keperluan, kotak makanan, WiFi percuma, kad SIM mudah alih dan tambah nilai.
Terbaru, Maxis telah menyumbang 500 kotak makanan untuk diagihkan di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen), Kementerian Komunikasi.
Kerjasama strategik ini adalah selaras dengan nilai Ihsan yang sinonim dengan sifat prihatin dan belas kasihan, merangkumi kasih sayang terhadap orang lain termasuk ahli keluarga, rakan dan masyarakat keseluruhannya. Maxis telah membantu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir. Inisiatif ini menampilkan kebersamaan dan solidariti syarikat korporat terhadap nasib golongan yang terjejas, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI. - YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi
Maxis komited untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka yang terkesan akibat kesukaran. Melalui sumbangan kami kepada Dana Ihsan MADANI dan dengan menyediakan bantuan asas secara langsung, kami membantu komuniti pulih dan berkembang maju. - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis
Penyerahan kotak makanan tersebut telah diadakan pada satu majlis di Tumpat bersama keluarga terbabit yang dihadiri oleh YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, dan wakil-wakil Kementerian Komunikasi dan Maxis.