Maxis dan AmBank memperdalam kerjasama untuk percepatkan transformasi digital dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia
- Kerjasama bertujuan memacu penerimagunaan digital dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia melalui keupayaan digital Maxis dan penyelesaian kewangan AmBank.
- Kedua-dua pihak akan meningkatkan penyampaian perkhidmatan, aksesibiliti kepada perkhidmatan perubatan dan infrastruktur merentas ekosistem penjagaan kesihatan.
- MoU tersebut dimeterai di Persidangan Kesihatan Antarabangsa (MIH) Megatrends 2024.
Maxis, syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, dan Kumpulan AmBank telah memperdalam kerjasama berterusan mereka melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk mempercepat transformasi digital dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia. Kedua-dua pihak akan memacu penggunaan penyelesaian termaju yang dikuasakan oleh ketersambungan merentasi ekosistem penjagaan kesihatan, menggabungkan keupayaan digital Maxis yang luas dengan penyelesaian kewangan komprehensif AmBank.
Kolaborasi ini telah dimeterai dengan acara pengumuman kerjasama yang diadakan di persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024, dengan kehadiran YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, dan Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Maxis diwakili oleh Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif, manakala Kumpulan AmBank diwakili oleh Jamie Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
Dengan membolehkan penerimagunaan penyelesaian kesalinghubungan dan digital, kerjasama tersebut bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan, aksesibiliti kepada perkhidmatan perubatan, dan infrastruktur merentas ekosistem penjagaan kesihatan. AmBank akan bekerjasama rapat dengan Maxis untuk menjadikan pembiayaan lebih mudah diakses oleh penyedia penjagaan kesihatan.
“Bersama dengan AmBank, kami berharap dapat mempercepatkan penerimagunaan digital dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia, bagi memberi manfaat kepada penyedia kesihatan serta pesakit yang mereka layani. Langkah ini adalah perluasan kepada inisiatif berterusan kami untuk mempromosikan penyelesaian digital masa hadapan untuk perniagaan yang dikuasakan oleh ketersambungan 5G dan 5G-Advanced, termasuk teknologi Internet Kebendaan (IoT). Melalui kerjasama ini, kami akan dapat memanfaatkan teknologi terbaik untuk memajukan agenda Penjagaan Kesihatan Pintar (Smart Healthcare) untuk negara, sejajar dengan matlamat kami untuk menghubungkan orang ramai dan perniagaan kepada dunia yang penuh kemungkinan.” - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis
“Kerjasama kami dengan Maxis diteruskan lagi dengan kolaborasi dalam sektor penjagaan kesihatan. Dengan menggabungkan kepakaran AmBank dalam penyelesaian kewangan dan kepakaran digital termaju Maxis, kami menyasarkan untuk menyumbang kepada penambahbaikan dalam keupayaan dan aksesibiliti penjagaan kesihatan, bersama dengan rakan kerjasama yang dapat menyediakan penyelesaian penjagaan kesihatan baharu dan dipertingkatkan kepada industri ini.” - Jamie Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank
Kerjasama ini akan meneroka potensi pembangunan penyelesaian penjagaan kesihatan generasi akan datang untuk menyokong keperluan kritikal dalam penyampaian dan pengalaman perkhidmatan. Antara penyelesaian tersebut mungkin termasuk aplikasi inovatif seperti keupayaan perundingan jarak jauh, robotik, penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dan realiti tambahan / realiti maya (AR/VR), dan penghantaran berautonomi bagi bekalan perubatan.
AmBank dan Maxis berkongsi komitmen berterusan untuk memacu inovasi digital dalam kalangan perniagaan. Sebelum ini, kedua-dua pihak tersebut telah bekerjasama untuk memangkin transformasi runcit dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperolehi mata pencarian melalui pendigitalan.