Maxis raikan kebudayaan dan kebersamaan dengan MySkills Foundation dalam semangat Deepavali
Dalam suasana penuh kemeriahan Deepavali, Maxis membawa keceriaan kepada lebih daripada 165 pelajar di MySkills Foundation di Kalumpang, Hulu Selangor, dengan para pekerja Maxis turut serta dalam perayaan kepelbagaian budaya dan kebersamaan.
Dari menghasilkan rekaan kolam yang warna-warni hingga menyediakan hidangan tradisional Deepavali dan kudapan seperti murukku, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti yang menonjolkan kekayaan tradisi Deepavali. Selain itu, para pelajar juga belajar tentang amalan lestari melalui bengkel berkebun secara praktikal, di mana mereka menanam bunga untuk menceriakan kampus.
Sebagai sebahagian daripada komitmen Maxis untuk menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan, sumbangan peralatan dapur dan bekalan sekolah turut diberikan kepada MySkills Foundation bagi manfaat para pelajar.
MySkills Foundation adalah sebuah organisasi bukan untung yang berdedikasi untuk memperkasakan belia yang kurang berkemampuan melalui pendidikan, latihan kemahiran, dan program pembangunan holistik.
“Kami berterima kasih atas kerjasama jangka panjang dengan Maxis, setelah menjalankan pelbagai program bersama sejak tahun 2015 untuk memperkayakan kehidupan pelajar kami. Interaksi antara pasukan Maxis dan pelajar kami hari ini telah mengeratkan semangat kemasyarakatan yang kuat serta memberikan dorongan kepada para pelajar, menjadikan perayaan ini satu kenangan indah untuk semua.” - Dr. M. Shanmuga Siva, Pengerusi MySkills Foundation
“Kami gembira dapat meluangkan masa yang bermakna bersama pelajar MySkills Foundation untuk perayaan Deepavali tahun ini. Kami sebelum ini telah berkerjasama dengan yayasan ini sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk menyokong dan berhubung dengan komuniti. Pasukan Maxis pastinya teruja untuk turut serta dalam semua aktiviti dan kami berharap dapat membawa sedikit sebanyak keceriaan perayaan kepada para pelajar.” - Mariam Bevi Batcha, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis
Untuk menginspirasikan hubungan yang lebih rapat pada musim perayaan ini, Maxis juga telah melancarkan video yang menyentuh perasaan, memaparkan bagaimana detik-detik kebersamaan menjadikan perayaan lebih istimewa. Kisah ini mengikuti seorang anak perempuan yang menghubungi ibunya untuk mendapatkan panduan tentang cara mengikat saree, mencetuskan kembali kenangan bersama ibunya. Tonton video tersebut di https://youtu.be/gqMEusorN8Y